• Pas, PKR rebut Dun Guchil  Muhamad Bustaman (baju Melayu) pada majlis barbeku sempena pengumumannya sebagai calon Bebas bagi Dun Guchil, Kuala Krai pada PRU13, baru-baru ini.
  • Pas, PKR rebut Dun Guchil  Penyelaras BN Dun Guchil, Tuan Aziz Tuan Mat bakal memberi tentangan sengit kepada Muhamad Bustaman jika meneruskan hasrat bertanding sebagai calon Bebas di Dun itu pada PRU13.
1 /
KUALA KRAI - Pengumuman seorang ketua cawangan Pas untuk bertanding calon Bebas di kerusi Dun Guchil pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) mungkin hanya mengejutkan ‘orang luar’.

Ini kerana desas-desus mengenai hasrat Ketua Pas cawangan Guchil Hulu, Muhamad Bustaman Yaacob untuk menawarkan diri bertanding atas tiket Bebas dalam kalangan penduduk setempat sudah kedengaran sejak lebih setahun lalu.

Biar pun baru diumumkan malam Jumaat lalu, faktor mendorong Muhamad Bustaman mengambil keputusan itu masih sama ketika desas-desus itu mula timbul, iaitu tidak berpuas hati dengan wakil rakyat PKR, parti rakan Pas dalam Pakatan Rakyat (PR).

Keputusan nekad itu diambil selepas harapan pemimpin dan penyokong Pas termasuk Muhamad Bustaman sendiri untuk melihat masalah itu diselesaikan dengan baik oleh pucuk pimpinan parti tidak kesampaian.

Kali kedua calon Bebas bertanding

Jika hasrat Muhamad Bustaman untuk bertanding atas tiket Bebas pada PRU13 menjadi nyata, ini PRU kedua bagi Dun Guchil menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), Pas atau PKR dan calon Bebas.

Kali pertama pada PRU11, 2004 apabila calon BN, Dr Shamshul Ikhwan Ashaari Azmi dan calon Pas, Zulkifli Ya’cob yang juga penyandang kerusi itu berdepan seorang calon Bebas, (Allahyarham) Mohd Zaki Kassim.

Keputusan kemudian menyaksikan Dr Shamshul Ikhwan menang dengan majoriti 1,010 undi selepas mendapat 6,146 undi dan Zulkifli pula 5,315 undi manakala Mohd Zaki hanya meraih 51 undi dan hilang deposit.

Mungkin silap untuk meramalkan nasib menimpa Mohd Zaki akan berulang kerana Allahyarham dikatakan bertanding atas tiket Bebas sekadar suka-suka, manakala keputusan Muhamad Bustaman dibuat kerana mempertahan dasar perjuangan parti.

Tarik diri jika calon Pas bertanding

Susulan pengumuman dibuat Muhamad Bustaman, Mursyidul Am Pas, juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada reaksinya menyifatkan tindakan pemimpin cawangan Pas itu boleh memecahbelahkan pakatan pembangkang.

Menjawab kenyataan Nik Abdul Aziz, Muhamad Bustaman bertegas dengan keputusannya untuk bertanding calon Bebas dan hanya akan menarik keputusan itu jika Dun Guchil kembali diserahkan kembali kepada Pas pada PRU13.

Ahli Jawatan Kuasa Majlis Tindakan Dun (MTD) Guchil itu bukan sahaja tidak berpuas hati dengan gerak kerja Adun Guchil dari PKR bahkan pergi lebih jauh apabila menyifatkan PKR sebagai tidak relevan di Kuala Krai mahu pun Kelantan.

Jika ramai beranggapan dia akan hilang deposit jika bertanding sebagai calon Bebas, Muhamad Bustaman pula melihat PKR tidak ada harapan di Dun Guchil dan kemungkinan calon parti itu yang akan hilang deposit.

Hanya Dun Guchil dimenangi PKR

Bagi menjelaskan lebih jauh apa disifatkan sebagai pergolakan dalaman PR di Dun Guchil, seorang aktivis Pas mengiakan kenyataan Muhamad Bustaman bahawa masalah itu sebenarnya disuarakan kepada pucuk pimpinan sejak dua tahun lalu.

“Pemimpin PKR sendiri juga sudah dimaklumkan mengenai masalah gerak kerja wakil rakyat PKR di Dun Guchil dan kerjasama mereka diminta untuk turun padang dan mengadakan program atau aktiviti.

“Kami persoalkan kenapa PKR tidak dapat beri tumpuan kepada Dun Guchil sedangkan ini satu-satunya kerusi Dun yang dimenangi parti itu daripada lima kerusi yang ditandingi di Kelantan pada 2008,” katanya.

Pada PRU 2008, PKR bertanding tiga kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Tanah Merah, Ketereh dan Machang, manakala Dun pula adalah Paloh, Nenggiri, Kuala Balah, Pengkalan Kubor dan Guchil.

Tidak tepati semangat PR

Aktivis Pas terbabit berkata, perebutan kerusi Dun Guchil tidak akan berlaku jika Adun PKR, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria melaksanakan tugas menurut semangat setiakawan dan persahabatan dalam PR.

“Selain isu mengambil ahli Pas sebagai ahli PKR, hubungan dan interaksi antara wakil rakyat PKR dan pemimpin Pas di peringkat akar umbi juga bermasalah.

“Kami ibaratkan tingkah laku ini seperti diberi menumpang di rumah orang tetapi bila sudah menang dan senang, langsung tidak ada rasa hormat pada tuan rumah,” katanya.

Menurutnya, suasana politik menjelang PRU13 terutama sokongan akar umbi ahli Pas terhadap calon PKR tidak sama dengan situasi lima tahun lalu dan kini masanya kerusi Dun Guchil diserah kembali kepada Pas.