• janji ditepati
1 /

RAKYAT kini sudah dibentang dengan manifesto kedua-dua parti setelah Barisan Nasional (BN) mengumumkan manifestonya malam semalam, manakala, Pakatan Rakyat (PR) bentang manifesto Februari lalu. Sekarang masa untuk kita menimbang pilihan bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sebagai rakyat yang diberi hak memilih, kita perlu sedia menilai secara rasional siapakah pemimpin atau parti yang layak diberi mandat mentadbir negara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Jika dilihat kedua-dua manifesto ini, terdapat persamaan ketara iaitu wujud pelbagai janji yang dilihat mampu menarik minat pengundi kerana ianya dapat memberi faedah dan pulangan kepada rakyat.

Sebagai contoh, usaha kerajaan BN untuk meneruskan program dasar transformasi 1Malaysia seperti menambah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sehingga RM1,200 kepada isi rumah dan mengekalkan RM600 untuk bujang secara tahunan.

Selain itu, BN juga akan menambah bilangan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M), memperkenalkan produk 1Malaysia di stesen minyak dan pasar raya besar serta membuka Klinik 1Malaysia di dalam kawasan komuniti padat penduduk.

Manakala bagi manifesto PR pula, fokus kepada pulangan lebih umum, seperti menawarkan harga minyak turun, menghapuskan tol dan pendidikan percuma.

BN dan PR juga mempunyai manifesto sama iaitu bina Lebuh Raya Pan Borneo.

Menerusi manifesto PR, lebuh raya ini akan menghubungkan Kuching sehingga ke Kota Kinabalu dan Kudat, manakala BN pula akan membina sejauh 2,300km Lebuh Raya Pan Borneo bermula dari Semantan di Sarawak hingga ke Serudong di Sabah.

Antara perkara dilihat turut mempunyai persamaan antara manifesto PR dan BN adalah menurunkan harga kereta. BN berjanji kurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

PR pula menawarkan untuk hapuskan cukai eksais kereta dalam tempoh lima tahun agar harga kereta lebih berdaya saing serta membolehkan kereta dikeluarkan dengan harga serendah RM25,000 sebuah.

Selain itu, menerusi manifesto PR, bayaran royalti kepada negeri pengeluar minyak dan gas ditawarkan, iaitu untuk dinaikkan dari 5 peratus ke 20 peratus.

Manakala, BN pula berjanji untuk meneruskan bayaran tunai khas dan pemberian dana untuk perbelanjaan operasi dan pembangunan sehingga melebihi 20 peratus daripada perolehan minyak dan gas daripada Sabah, Sarawak, Terengganu, Kelantan dan Pahang.

BN dan PR juga bersaing untuk membina rumah mampu milik kepada rakyat yang masih lagi tidak mempunyai rumah.

Menerusi manifesto BN, sejuta rumah mampu milik akan dibina dan digerakkan oleh sektor awam dan swasta, usaha ini termasuk untuk membina 500,000 rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA).

Selain itu, BN juga akan memastikan harga rumah PR1MA sekurang-kurangnya 20 peratus di bawah harga pasaran.

PR pula berjanji bina 150,000 rumah mampu milik kategori kos rendah (bawah RM75,000) dan kos sederhana (antara RM150,000 hingga RM250,000) dalam tempoh penggal pertama memerintah. Dalam memerangi gejala rasuah, kedua-duanya turut beri penekanan bantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ini terbukti menerusi janji BN yang mahu memberi kuasa kepada SPRM menerusi penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan SPRM yang akan bertanggungjawab terhadap perkhidmatan dan pengambilan kakitangan serta akan menubuhkan mahkamah sesyen khas rasuah dan mahkamah tinggi tambahan untuk kes-kes rasuah.

Manakala, PR pula akan perkenalkan Dasar Banteras Rasuah Negara (Debaran) yang mengandungi pendekatan bersepadu khusus untuk membanteras rasuah.

Secara keseluruhannya, kedua-dua manifesto ini mempunyai persamaan iaitu rakyat akan dapat pulangan jika janji ini ditepati. Sejauh manakah rakyat mampu menilai dengan baik, ini dapat dipastikan menerusi keputusan pada hari pembuangan undi PRU13. Sama-sama kita nantikan.