•  Manifesto hebat, tapi siapa PM jika PR ke Putrajaya? Pemimpin Pakatan Rakyat bersama manifesto perikatan itu (dari kiri) Kit Siang, Guan Eng, Anwar, Hadi Awang, Nik Aziz dan Wan Azizah. - Foto Sinar Harian oleh ZULFADHLI ZAKI
1 /

ANALISIS - Nampaknya persoalan siapa perdana menteri Malaysia gagasan pembangkang selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tinggal tanda tanya.

Walaupun konvensyen Pakatan Rakyat (PR) kali keempat semalam berjaya dari aspek pembentangan manisfestonya, soal yang paling dinanti dan menarik perhatian, tampaknya dibiarkan berlalu begitu sahaja.

Sama halnya dengan tarikh pilihan raya yang dibiarkan menjadi teka-teki tidak berkesudahan oleh pemimpin nombor satu negara.

Konvensyen PR yang melabuh tirainya petang semalam, tidak mengumumkan sama ada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang disebut-sebut selama ini - bakal menjadi perdana menteri Malaysia, sekali gus menolak dakwaan bahawa PR mungkin meletakkan calon perdana menteri bukan dari kalangan Melayu.

Hanya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang nampaknya konsisten dengan pendirian bahawa hanya Ketua Umum PKR itu sahaja yang paling layak menduduki kerusi perdana menteri.

“Jika kita mahu selamatkan negara, kita perlukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia,” kata Guan Eng.

Bagaimanapun hanya Guan Eng sahaja nampaknya begitu teruja dalam meyakinkan pendapat umum bahawa Anwar adalah tokoh yang akan menjawat jawatan itu nanti.

Sementara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dilihat lebih berminat untuk bercakap tentang kerjasama dalam Pakatan Rakyat di samping menempelak Umno-Barisan Nasional.

Hadi juga menarik perhtian umum dengan mengumpamakan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) oleh kerajaan BN dengan tindakan Firaun di Mesir.

"Cerita BR1M ini bukan cerita baru. Al-Quran sudah menceritakan lebih lima enam ribu tahun yang lalu, Firaun telah (agih) BR1M," katanya mengudang ketawa perwakilan.

Hadi secara bersahaja mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyamakan penerima BR1M umpama haiwan.

"Kamu bukan ayam, bukan itik, kamu manusia, gunakan dedak untuk bagi makan ayam, kita makan ayam itu balik," kata Hadi sambil mendapat sorakan gemuruh hadirin.

Malah Hadi dalam pantun sebelum mengakhiri ucapannya mengajak rakyat Malaysia supaya mengambil BR1M yang dihulurkan kerajaan tetapi menumbangkan kerajaan itu dalam PRU13.

"BR1M ditabur ke kampung dan pekan, perahu dikayuh menyusur terusan, umpan diambil serta dimakan, sangkutlah kail ke leher Barisan," ungkap Hadi diikuti tepukan di dalam dewan.

Ironinya, Hadi tidak pula menyentuh isu siapa PM walaupun ia berkumandang kuat ketika muktamar tahunan Pas baru-baru ini.

Pimpinan Pas ketika itu menyambut baik cadangan seorang perwakilan dari Dewan Ulama Pas yang mahukan presiden mereka itu menjadi perdana menteri Malaysia jika PR berjaya dalam misinya merampas tampuk kekuasaan.

Sementara Anwar dalam ucapannya, kelihatan sedikit hambar dan agak 'cool'.

Mungkin itu agaknya ciri dan perwatakan yang harus dibawa jika benar yang dihebohkan selama ini bahawa beliaulah calon perdana menteri sebenar kerajaan pembangkang. Wallahualam.

Namun yang pasti, tiada elemen kejutan, gurau senda, penegasan atau sesuatu yang menarik dalam ucapan pemimpin utama pembangkang itu jika hendak dibandingkan dengan pimpinan lain yang mengemukakan hujah masing-masing.

Bahkan ucapan keyakinan beliau untuk PR mara ke Putrajaya juga sedikit rendah alunan suaranya, tidak seperti selalu.

"Kita tidak terlebih yakin, kita mesti juga ada perikemanusiaan untuk terima kita berhadapan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya yang belum bebas dan bersih.

"Tetapi kita yakin Insya-ALLAH, kita mampu tawan Putrajaya," ujar Anwar.

Apa pun, isu siapa PM PR ini nampaknya seolah-olah cuba "dimatikan" dan dibiarkan tidak berjawab.

Apa tidaknya, pimpinan Pakatan Rakyat yang ditemui setelah selesai konvensyen juga memberi pelbagai variasi jawapan.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu antara yang paling berterus-terang bahawa perikatan pembangkang itu sebenarnya sudah ada calon namun masih menunggu waktu yang sesuai untuk mengumumkannya.

"Kita sudah 'set', hanya tunggu masa mahu umumkannya... tapi yang pasti saya tidak tersenarai sebagai (calon) perdana menteri," katanya pada pemberita.

Sementara, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata, PR akan mengumumkan calon itu bila tiba masanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas bila pengumuman itu akan dibuat.

"Itu adalah rahsia kami... tidak perlulah (dihebahkan)," kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali nampaknya seolah-olah mahu mengunci mulut membabitkan perkara itu.

"Kita ada pakej yang kukuh dan menjadi bukti Pakatan bersedia pergi ke Putrajaya...bukan soal siapa perdana menteri," katanya.

"Soal (pemilihan perdana menteri) itu tidak timbul kerana perbincangan sebelum ini membuktikan muafakat PR itu utuh," ujar beliau lagi.

Mungkin juga, ia adalah strategi dalam memastikan tumpuan media tidak "terganggu" kepada kandungan manifesto gagasan pembangkang itu yang dijanjikan jika pembangkang diberikan mandat kali ini.

Antara yang menarik perhatian dalam kandungan manifesto itu tentunya komitmen PR dalam memastikan kos sara hidup rakyat dapat diimbangi antara pendapatan dan harga barangan keperluan.

Menerusi empat teras utama Pakatan Harapan Rakyat, manifesto PR antaranya menjanjikan sejuta peluang pekerjaan baru kepada rakyat Malaysia di samping bakal melaksanakan gaji minima sekurang-kurangnya RM1,100 sebulan.

PR juga akan memastikan, sepenggal pentadbirannya, setiap isi rumah akan membawa pulang pendapatan isi rumah RM4,000 sebulan.

PR juga komited dalam memastikan harga minyak diturunkan, caj elektrik lebih rendah, caj air lebih rendah, penghapusan tol, cukai aksais dan harga kereta serendah RM25,000 sebuah.

Menurut pimpinan yang membentangkan manifesto itu, pembangkang akan memastikan janji gagasan itu akan dipenuhi jika mendapat kepercayaan rakyat.

Manifesto yang disusun mengikut segmen masyarakat itu dilihat mungkin berjaya menarik perhatian pengundi berdasarkan tawaran-tawaran yang menarik dan menguntungkan masyarakat Malaysia.