• Fokus PRU 13 Fokus PRU 13
1 /

MESKIPUN Barisan Nasional (BN) melalui calonnya, Yap Seong Fook hanya tewas dengan majoriti tipis 553 undi kepada calon DAP, S Veerapan dalam pertarungan merebut kerusi di Dun Repah pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) yang lalu, ia dilihat bakal merubah sejarah Dun Repah apabila buat pertama kalinya pertarungan tiga penjuru bakal berlangsung di Dun berkenaan pada PRU13.

Pada PRU12, S Veerapan berjaya memperoleh undi sebanyak 5,977 mengatasi Yap Seong Fook yang mencatatkan undi 5,424.

Tampil dengan semangat bagi terus-menerus memberi khidmat kepada masyarakat setempat, calon bebas yang disebut-sebut bakal bertanding di Dun Repah, dengan simbol kereta ialah seorang ahli perniagaan, Fadzil Abu Bakar yang merupakan anak jati Kampung Batu Belang, Tampin.  

Fadzil menerusi temu bualnya dengan Sinar Harian, menegaskan keputusannya menjadi calon bebas bukanlah disebabkan atas kepentingan tertentu, tetapi ia lahir atas semangat untuk terus membantu masyarakat dan rasa kecewa terhadap kemenangan DAP yang dianggap tidak mendatangkan apa-apa manfaat buat Dun Repah.

Beliau yang kini memegang kira-kira 15 jawatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah Tampin, sudah lama memberi khidmat kepada masyarakat di sini dan menariknya sejak akhir-akhir ini ucapan tahniah sebagai calon bebas di Dun Repah sudah mula diterimanya ketika mengunjungi mana-mana lokasi termasuk kedai makan.

Bagi calon BN, nama yang disebut-sebut bakal bertanding merebut kerusi Dun Repah ialah Ketua MCA Bahagian Tampin, Mendiang Gan Choong Bee, begitu pun, hasrat calon berkenaan tidak kesampaian apabila beliau ditemui mati terbaring oleh anaknya, Gan Eng Heng, 30, kira-kira jam 12 tengah hari di dalam biliknya di Taman Gemencheh Baru, 3 Disember tahun lalu.

Lalu timbul desas-desus menyatakan Yap Seong Fook bakal bertanding kembali, manakala, DAP pula berkemungkinan mengekalkan calon yang sama berdasarkan kerja keras yang telah dilakukan Adun Repah berkenaan sejak memenangi PRU yang lalu.

Isu NFC tak jejas kredibiliti Umno

Di Dun Gemas pula, kewibawaan Datuk Zainab Nasir tampil sebagai Adun Gemas wanita yang pertama tidak boleh dipandang sebelah mata apabila beliau telah berjaya membuktikan kredibilitinya dengan merealisasikan hasrat mewujudkan Fakulti Pertanian Universiti Malaya di Gemas dan juga gerak kerja melalui Skuad Sayang Wanita Umno.

Bagaimanapun, isu Pusat Feedlot Kebangsaan (NFC) yang beroperasi di Gemas nyata telah memberikan pelbagai kesan besar terutamanya terhadap calon yang bertanding ditambahkan lagi dengan penemuan kajian kendalian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) yang menunjukkan isu NFC dilihat antara isu yang boleh menjejaskan imej Umno dalam PRU13.

Jika dilihat pada PRU12 yang lalu, Zainab mampu menang dengan majoriti selesa sebanyak 7,965 undi setelah mendapat bilangan undi 10,811 undi berbanding calon lawan dari Pas, Mohd Ali Maarof yang hanya mencatatkan sebanyak 2,846 undi.

Namun, dengan tercetusnya isu NFC sejarah baru bakal berlaku dalam PRU13 apabila kerusi yang sebelum ini diwakili oleh Pas beralih tangan ke PKR. Bahkan, calon yang bakal mewakili PKR masih lagi menimbulkan tanda tanya apabila beberapa nama mula mendapat perhatian antaranya Bekas Ketua Cabang PKR Tampin, Mejar Zolkapli Kassim yang merupakan anak jati Felda Bukit Jalor Gemencheh; Ketua Cabang PKR Tampin, Baharudin Ariff dan AJK PKR Tampin, Datuk Syawal Salim.

Bagaimanapun, tanda tanya pemilihan calon yang bakal bertanding di setiap Dun baik dari wakil BN mahupun PR masih belum berakhir selagi tiada pengumuman dan penamaan calon.

Bilangan pengundi bukan Melayu meningkat di Dun Gemencheh

Malah di Dun Gemencheh, timbul ura-ura menyatakan terdapat beberapa nama yang tercalon mewakili BN bukan hanya Datuk Mohd Kamil Abdul Aziz yang sudah bertanding sejak beberapa penggal yang lalu.

Bahkan, ada khabar angin yang bertiup kencang apabila Dun berkenaan juga bakal ditandingi oleh Shaziman.

Malah, ada juga desas-desus menyatakan kerusi BN di Dun Gemencheh bakal ditandingi oleh orang muda melalui Ketua Pemuda BN Tampin, Mohd Isam Mohd Isa.

Pada PRU 12 yang lalu, Mohd Kamil berjaya mendapat majoriti 3,241 apabila mencatatkan bilangan undi sebanyak 6,600 berbanding calon Pas, Zakaria Khalim yang mencatatkan bilangan undi 3 359.

Bagaimanapun, apa yang perlu diberi perhatian di Dun Gemencheh ialah peningkatan bilangan pengundi bukan Melayu pada PRU13 ini apabila lebih 2,000 pengundi baru berdaftar telah direkodkan berbanding pengundi Melayu.

Malah, sekiranya dicampur jumlah peratus pengundian bagi suku ketiga daftar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi bukan Melayu terdiri daripada Cina dan India adalah menghampiri 40 peratus.

Manakala, pengundi Melayu di Dun Gemencheh pula majoritinya kira-kira 60 peratus. Desas desus menyatakan sekiranya pengundi Melayu berpecah dalam PRU13 ini, sesuatu yang tidak diingini oleh BN tidak mustahil bakal melanda di Dun ini.

Zainab berkata, setelah calon dipilih oleh pucuk pimpinan maka adalah menjadi tanggungjawab ahli parti bersatu hati menyokong keputusan yang telah dibuat.  

Bahkan, bagi pihak PR pula, kesungguhan mereka dalam melancarkan Skuad PRU13 dan Sukarelawan Dun Gemas, 15 Jun lalu serta bakal disusuli dengan pelancaran di Dun lain juga nyata menunjukkan mereka sudah bersiap sedia memberi tentangan dalam PRU13.

Jika dilihat, PRU13 ini menyaksikan PR berjaya melengkapkan wakil mereka di tiga Dun di Parlimen Tampin iaitu Dun Repah diwakili DAP; Gemencheh (Pas) dan Gemas (PKR).  

Malah, kunjungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena Program Jelajah Rakyat di Pekan Pasir Besar 27 Januari lalu seolah-olah menyiramkan lagi semangat penyokong PR Parlimen Tampin khususnya di Dun Gemas untuk menyahut perubahan mereka.

Bagi pengundi di Parlimen Tampin, biar siapa pun calon bagi PRU13 ini, apa yang mereka perlu lakukan ialah keluar mengundi sebagai bukti tanggungjawab memilih pemimpin mereka sendiri bagi tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.