Pas Sepang turut menyuarakan kesediaan dan keyakinan mereka berdepan BN pada PRU13 dan percaya mempunyai peluang 50:50 untuk menang di kerusi parlimen tersebut.

Yang Dipertua Pas Sepang, Kapten (B) Jaafar Pangat berkata, Pas menghantar tiga nama untuk bertanding pada PRU13 bagi calon peringkat Parlimen dan Dun di mana mereka terdiri daripada kalangan golongan profesional.

Menurutnya, Pas tidak kurang hebatnya di Sepang dan berpotensi tinggi menang berdasarkan pendekatan pembangunan dan bantuan rakyat disalurkan melalui kerajaan negeri.

Beliau percaya, faktor keterbukaan rakyat bermaklumat sekarang yang sudah pandai menilai khususnya di Selangor tidak mustahil boleh memberi kemenangan kepada PR khususnya di negeri, amnya negara.

Mengakui Sepang sebagai kawasan dikategorikan zon selesa kerana kurang berdepan isu besar, Jaafar berkata, pembangunan sama rata disalurkan kerajaan PR Selangor di semua kawasan tanpa mengira fahaman politik boleh dipertimbangkan sebagai penerimaan rakyat terhadap parti itu.

“Pas di Sepang memfokuskan pembangunan modal insan menerusi pelbagai program kerajaan negeri seperti Masyarakat Cemerlang Spies untuk belia, pembangunan wanita dan sebagainya kerana kita percaya insan cemerlang itu mempunyai jati diri yang kuat,” katanya.

Jaafar berkata, Pas mengambil pendekatan kemajuan berdasarkan keperluan setempat dengan mengadakan banyak program bersesuaian dengan peringkat umur.

“Memandangkan di Sepang ini, bilangan warga emas lebih ramai daripada belia, Pas menumpukan program- program seperti mengimarahkan masjid selain kesihatan.

“Apa dapat dilihat, program-program agama yang dianjurkan di masjid mendapat sambutan menggalakkan, tidak kurang juga peranan wanita terhadap institusi masjid ini yang semakin meningkat.

“Wanita kini lebih ramai mengunjungi masjid untuk majlis-majlis ilmu kerana kita percaya rakyat sudah mula sedar mengenai kepentingan agama dan pendekatan untuk menyemarakkan Islam dibawa Pas,” katanya.

Perjuangan diteruskan

Beliau berkata, Pas akan terus berjuang demi kepentingan Islam dan tidak dinafikan pembangunan yang dapat dijalankan belum meluas memandangkan sumber terhad.

“Meskipun PR memerintah Selangor dan berjaya tingkat kewangan negeri berbanding hanya RM400 juta ketika ambil alih negeri ini, pembangunan menyeluruh dapat dicapai jika PR menawan Putrajaya.

“Sepanjang lima tahun ini, banyak dilakukan PR namun masa singkat ini tidak patut dijadikan ukuran kegagalan disebabkan beberapa janji belum ditepati secara menyeluruh. Saya percaya jika peluang diberi, perjuangan bantu rakyat akan diteruskan,” katanya.

Menurutnya, rakyat diharap membuat pilihan tepat kerana hanya mereka bertanggungjawab memilih kerajaan yang dirasakan mampu membawa perubahan.