• Satim sedia bertanding sekiranya dicalonkan lagi pada PRU13. Satim sedia bertanding sekiranya dicalonkan lagi pada PRU13.
1 /

PUCHONG – Pelbagai cerita-cerita panas mengenai soal siapa calon Umno bagi kerusi Dun Seri Serdang yang dulu bertiup kencang kini sudah bersuara perlahan di ‘Parlimen’ kedai-kedai kopi.

Tiga nama dikatakan sudah dihantar ke pucuk pimpinan bagi tujuan penapisan sebelum dikerah ke medan ‘peperangan’.

Daripada sumber sahih, nama-nama itu dikatakan bermula daripada hierarki orang nombor satu pimpinan bahagian sehingga kepada orang nombor tiga di dalam organisasi itu.

Meski begitu sumber yang boleh dipercayai mendakwa calon yang bergelar wakil rakyat dan memegang tampuk pemerintahan Dun sejak empat penggal lalu dikatakan akan sekali lagi mempertaruhkan nasib parti pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti.

Seperti yang pernah dikatakan sebelum ini, individu berkenaan yang kini adalah Ketua Pembangkang negeri Selangor dan juga Adun Seri Serdang, Datuk Dr Mohamad Satim Diman berkata, beliau menyerahkan keputusan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan soal pemilihan calon yang akan bertanding pada pilihan raya akan datang.

Menurutnya, Pengerusi BN Selangor itu lebih mengetahui siapa ‘winable candidate’ yang boleh diletakkan untuk merampas kembali negeri ini daripada Pakatan Rakyat (PR).

Satim dalam kenyataannya sebelum ini berkata, namun jika diberi peluang bertanding sekali lagi, beliau akan meneruskan tugas dan tanggungjawab seperti biasa.

“Terpulanglah kepada Perdana Menteri... beliau lebih tahu... kalau diberi peluang kita jalankan tugas dan amanah seperti biasa,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana perasaannya jika namanya yang dihantar tidak dipilih tetapi diberi peluang kepada muka baru, Satim dengan bersahaja berkata, beliau tidak sedikit pun kecil hati dan menerima keputusan menerusi persetujuan dan permuafakatan bersama.

Ia berikutan katanya, nama-nama dihantar adalah pilihan dibuat oleh ketua-ketua cawangan di dalam bahagian sendiri.

“Saya sudah empat penggal menjadi wakil rakyat di sini, di kala orang lain (calon Umno) kalah di tempat lain, di Seri Serdang masih menang. Apa pun jika calon lain dipilih mereka mesti lebih baik daripada saya,” katanya.