• Muka depan Sinar Harian Edisi Selangor. Muka depan Sinar Harian Edisi Selangor.
1 /

WANGSA MAJU - Tindakan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong menjadi wakil Bebas merancakkan lagi senario politik Wangsa Maju yang sememangnya panas dengan kontroversi.

Lebih menarik, kelibat wakil rakyat itu yang dilihat mesra Barisan Nasional (BN) seterusnya mengundang kemarahan kepada rakan parti angkatnya, PKR setelah beliau bertanding di atas tiket parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) apabila menewaskan calon BN dari MCA, Datuk Yew Teong Look.

Samada tindakan Choo Keong itu memberikan kelebihan kepada parti lawan pada PRU13 adalah sesuatu yang sukar diramal apabila BN dan PKR telah mengatur strategi awal bagi menambat hati pengundi.

Tewas dengan majoriti tipis sebanyak 150 undi pada PRU12, BN masih mencongak untuk merampas kembali kerusi Wangsa Maju manakala PKR tenang dalam usaha untuk mempertahankan kerusi Wangsa Maju sekali lagi setelah perjuangan parti itu didakwa dikhianati oleh Choo Keong.

Meskipun tiada isu besar di Wangsa Maju namun pengundi  semakin bijak menilai samada mereka cenderung memilih berdasarkan faktor calon atau kepartian selepas kontroversi yang dicipta Choo Keong.
 
Teka-teki calon


Kemenangan majoriti lebih 10,000 undi pada PRU11 langsung tidak memberi kelebihan kepada penyandangnya ketika itu, Datuk Yew Teong Look yang rebah mengejut kepada Choo Keong dengan kekalahan tipis 150 undi.

Kekalahan tersebut menyebabkan kubu kuat Barisan Nasional (BN) itu terlepas kepada tangan pembangkang pertama kalinya setelah persempadanan semula kawasan itu pada 2004 menyaksikan MCA hanya bertahan sepenggal selepas Umno memberi laluan kepada MCA untuk bertanding pada PRU11.

Bagi Umno dan BN, kekalahan rentetan tsunami politik ketika itu harus dijadikan pengajaran setelah tewas kepada percaturan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meletakkan kepercayaan kepada Choo Keong yang juga bekas ahli DAP itu akhirnya membuahkan hasil walaupun calon itu kurang dikenali dan berkempen kurang seminggu.

Meskipun PRU13 adalah misi BN menebus kekecewaan lalu, namun begitu, teka teki siapakah ‘winnable candidate’ masih menjadi tanda tanya setelah Umno dan MCA masing-masing menyatakan hasrat untuk meletakkan calon untuk bertanding.

Di sebalik itu, PKR dilihat lebih bijak mengatur strategi dan membuat percaturan awal mendekati rakyat dengan pelbagai program apabila dikatakan sudah mempunyai calon boleh menang menghadapi pilihan raya sengit kali ini.

Setelah mendakwa parti telah dikhianati, PKR menyerahkan kepercayaan kepada bekas Ahli Parlimen Segambut, Datuk Dr Tan Kee Kwong bagi menggalas harapan Pakatan Rakyat (PR).

Pada masa yang sama, Choo Keong yang bergelar Ahli Parlimen Bebas turut melahirkan hasrat untuk bertanding di Wangsa Maju sekali lagi dan dijangkakan pertembungan tiga penjuru bakal berlaku di Wangsa Maju.
 
Umno atau MCA?

Bukan satu rahsia apabila Umno dan MCA melahirkan hasrat untuk meletakkan calon masing-masing untuk bertanding di Wangsa Maju.

Kedua-dua parti komponen BN itu mempunyai kelebihan dan kekuatan parti untuk membawa cabaran BN setelah melakukan pelbagai gerak kerja menawan kembali kerusi itu setelah tewas mengejut pada 2008.

Sebelum persempadanan semula pada 2004, kerusi parlimen itu adalah milik Umno tetapi diserahkan kepada MCA apabila Teong Look yang memenangi selesa pada PRU11  tewas kepada PKR pada 2008.

Melihat situasi itu, kebanyakan penyokong Umno kini mahu kerusi yang sebelum ini dimiliki Umno dikembalikan kepada mereka kerana yakin dapat mengembalikan semula keyakinan pengundi kembali ke pangkuan BN.

Jelas gerak kerja dan program turun padang yang diketuai Setiausaha Politik Kepada Perdana Menteri dan juga Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Datuk Dr Mohd Shafei Abdullah menunjukkan kesungguhan Umno membawa perubahan dan pembaharuan di Wangsa Maju sejak 2008.

Shafei yang juga Pengerusi BN Wangsa Maju dilihat sebagai ‘calon boleh menang’ di kerusi Parlimen itu apabila menggerakkan seluruh jenteranya dengan pelbagai pendekatan mendekati hati rakyat.

Bagi MCA pula, kerusi yang dimiliki sepenggal setelah memenangi PRU11 turut menyatakan hasrat untuk menembus semula kekecewaan setelah tewas tipis pada PRU12.

Kesungguhan MCA jelas apabila pemimpinnya iaitu Datuk Yew Teong Look terus berkhidmat dengan membuka Pusat Khidmat Rakyat sendiri bagi meneruskan khidmat karier politiknya.

Khidmat tanpa jemu, Teong Look yang pernah menjawat sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Wilayah Persekutuan kepada rakyat di Wangsa Maju adalah petunjuk jelas bahawa pemimpin itu bersiap sedia untuk kembali bertanding.

Meskipun timbul tanda tanya dalam kalangan pengundi di Wangsa Maju berhubung calon BN nanti, namun komitmen Umno dan MCA yang terus melakukan pelbagai pendekatan untuk merampas semula kerusi itu dilihat cerah sekiranya kekuatan kedua-dua parti komponen BN itu bersatu hati menghadapi pilihan raya getir ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong turut memberi isyarat jelas akan bertanding di Wangsa Maju bagi meneruskan khidmatnya setelah menang di atas tiket PKR pada PRU12.

Choo Keong yang kini bergelar Ahli Parlimen Bebas setelah keluar PKR pada 2010 dilihat masih mempunyai sokongan rakyat apabila beberapa isu tempatan seperti kampung tradisi telah diselesaikannya dengan cemerlang.

Bagaimanapun, tindakan Choo Keong meninggalkan PKR tidak menjejaskan parti itu di Wangsa Maju yang bersiap sedia awal dengan kehadiran bekas Ahli Parlimen Segambut dan bekas Timbalan Menteri Tanah, Galian dan Koperasi, Datuk Dr Tan Kee Kwong apabila diberi kepercayaan untuk bertanding.

 

* Laporan lanjut dapatkan Sinar Harian Edisi Selangor dipasaran