• PRU13 PRU13
1 /

ANALISIS - Prestasi Barisan Nasional (BN) dilihat memberikan impak dan berpeluang memenangi kembali undi rakyat dan memberikan tekanan lebih kepada kepada Pakatan Rakyat (PR) untuk menyaingi parti pemerintah itu.

Pensyarah Geopolitik Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Fuad Mohd Jali berkata, rekod menunjukkan kedua-dua parti telah menjalankan pentadbiran seperti yang diwar-warkan dalam manifesto masing-masing.

Namun katanya, jika dilihat dari aspek menunaikan apa yang dijanjikan perkara itu dilihat didominasi oleh BN melalui program-program transformasi yang dijalankan di seluruh negara manakala prestasi kepimpinan PR di beberapa negeri yang berjaya ditawan pada 2008 dilihat menurun.

“Di Selangor misalnya, beberapa pembangunan yang dirancang tidak dilaksanakan, pemberian bantuan tidak menyeluruh terutamanya yang berkaitan dengan ibu tunggal dan prestasi ini dilihat tidak sampai kepada sasaran.

“Dari segi pembangunan memang nampak berlaku tapi bantuan kepada rakyat banyak berkurangan dan tidak mencapai sasaran yang dijanjikan,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Mengulas perkara sama, itu, Prof Madya Dr Ismail Sualman dari Universiti Teknologi Mara pula berpendapat, jika dilihat selepas 2008 hingga sekarang, wujud persaingan sengit di antara kedua-dua parti itu terutamanya menjelang PRU13.

Katanya, wujud pencapaian prestasi yang agak sama rata dari segi populariti tetapi ada di sesetengah tempat pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor, BN berjaya rampas kembali manakala, Pilihan Raya Kecil Sibu melihatkan BN hilang kerusi kepada pembangkang.

“Perkembangan ini bergantung pada isu-isu yang datang dan pergi. Kebanyakan isu yang timbul akan mempengaruhi sokongan mana-mana politik tetapi yang jelasnya isu-isu akhir ini lebih banyak memihak kepada BN.

“Misalanya, isu kalimah ALLAH yang berpunca dari PR sendiri, soal murtad yang tidak dipandang oleh Pas sebagai agenda dalam Islam meyebabkan pengikut di peringkat bawah mula melihat dan keluar daripada parti.

“Tetapi saya nampak akhir-akhir ini, pendekatan BN melalui bajet dengan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) juga beri impak kepada pengundi,” katanya.
Penganalisis dari Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan pula berkata, prestasi kedua-dua parti agak berbeza.

“Pada 2008, PR mendapat kepercayaan yang begitu besar kerana kelemahan BN namun, selepas lima tahun berlalu situasi itu agak terbalik di mana kepercayaan diberikan kembali kepada BN kerana PR diberikan persepsi tidak mampu perintah negeri,” katanya.

Beliau menjelaskan, antara faktor penurunan sokongan itu disebabkan faktor kepincangan dari segi pentadbiran di beberapa negeri yang diperintah kerajaan PR sendiri terutama di Kedah dan Selangor.

Katanya, pengundi sudah dapat mempelajari apa yang telah berlaku sepanjang lima tahun dan ketika ini keadaan amat kuat memihak kepada BN berbanding PR sendiri terutamanya selepas berlakunya insiden di Lahat Datu.

Jelas beliau, berikutan insiden itu semangat nasionalis rakyat Malaysia secara lazimnya berada di belakang kerajaan yang memerintah pada ketika ini dan secara tidak langsung ia memberikan kekuatan kepada BN berbanding PR.

“Jika pilihan raya diadakan pada hari ini, besar kemungkinan BN mampu menang lebih daripada dua per tiga majoriti parlimen.

“Kebiasaannya apabila rakyat berhadapan dengan hal keselamatan yang menggugat keselamatan mereka, mereka akan berada di belakang kerajaan. Misalnya Amerika Syarikat (AS) isytihar perang ke atas Afganistan dan Iraq, rakyat AS berada di belakang Presiden Bush.

“Semangat nasionalis ini diterjemah kepada kepada sokongan rakyat kepada BN dan sokongan ini beri kelebihan kepada BN,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kelebihan BN, Fuad berkata, transformasi dari segi ekonomi, politik, sosial dan infrastruktur terutama di Sabah dan Sarawak berjalan dengan baik serta berjaya memenuhi keperluan komunikasi yang menjadi keperluan asas keperluan penduduk negeri itu.

Katanya lagi, walaupun keperluan ini memakan masa tapi prestasi sampai.

“Maklum balas yang disampaikan kepada pihak kami menunujukan rakyat di Sabah dan Sarawak menerima kesan ini dengan baik dan kalau boleh mereka mahu ia diteruskan, bukan hanya dalam masa berkempen ini sahaja.

“Rakyat Sabah dan Sarawak berharap agar kemajuan yang dibawa dapat menyamai taraf pembanganan seimbang seperti di Semenanjung Malaysia," jelasnya lagi.

Katanya lagi, walaupun terdapat percubaan oleh PR untuk menyaingi BN, namun cubaan dan kepantasan itu agak perlahan.

Misalnya di Kedah dan Selangor katanya, beberapa isu berhubung janji yang diberikan sewaktu merayu undi pilihan raya lalu dituntut hingga ke mahkamah, menunjukan ia adalah perkara yang serius.

Jelas Fuad lagi, kemungkinan janji-janji itu tidak dapat ditunaikan kerana masalah kewangan, masalah kurangan pengalaman pentadbiran dan kurangnya komitmen wakil rakyat PR sendiri untuk pastikan janji-janji dilaksanakan dengan segera.

Sementara itu, lebih memburukkan keadaan, Azmi berkata, walaupun PR mempunyai pemimpin yang boleh dipercayai tetapi mereka banyak melakukan kesilapan sehingga meruntuhkan kepercayaan rakyat kepada kepimpinan PR itu sendiri.

“Dulu mungkin mereka boleh menggunakan aura kepimpinan seorang dua tapi kini aura itu sudah tiada kerana kebanyakannya telah diserang oleh BN sendiri. Ini termasuk Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“PR berhadapan dengan cabaran amat besar untuk meyakinkan rakyat bahawa mereka boleh memerintah sebuah negara dan mampu mentadbir sebuah kerajaan persekutuan. Itu keyakinann yang diimpikan oleh pengundi.

“Sebaliknya, apa yang berlaku di negeri-negeri ditadbir PR agak kucar-kacir dan menyukarkan kebolehan PR. Lebih-lebih lagi apabila berlaku insiden keselamatan, persepsi was-was rakyat terhadap PR sendiri turut meningkat,” katanya.

Ketika diminta mengulas kaitan isu keselamatan dan PR, Azmi menjelaskan, beberapa ahli politik dari PR dilihat kurang strategik untuk menangani isu tersebut.

“Mereka mengkritik kerajaan dan yang sebenarnya secara tidak langsung, mereka telah mengkritik pihak keselamatan negara. Ini tidak betul dari segi strategi.

“Mereka boleh kritik tetapi perlu menyatakan sokongan terhadap usaha pasukan keselamatan dan akibatnya menyebabkan rakyat sukar mempercayai kebolehan PR mentadbir,” jelas beliau.  

Mengulas mengenai kelebihan PR pula, Ismail berkata, kelebihan PR menggerakkan semua jenteranya memang sudah diperakui.

Katanya, DAP tahu memainkan peranan mereka, Pas ada caranya tersendiri dan tidak ketinggalan PKR juga dengan pendekatan mereka.

Secara kesimpulan katanya, pendekatan yang dibuat PR bertujuan untuk mengenakan BN.

“Pada masa ini, yang dilihat dominan untuk membuat serangan balas hanyalah Umno, sedangkan parti komponen lain sekadar mendiamkan diri. MCA dan MIC tidak ketara peranan mereka.

“Sekarang ini semacam hanya yang dilihat bertanding pada PRU13 hanyalah Parlimen Pagoh dan Parlimen Pekan. Cabaran itu perlu diambil kira semua ahli politik BN.

“Dalam masa yang berbaki ini, BN perlu merancang strategi terbaik dan pendekatan yang hanya mengharapkan dua pemimpin utama tidak lagi boleh dibuat. Setiap pemimpin perlu diketengahkan supaya pengundi tahu dan dapat menilai,” katanya.

Tambah Ismail, bagi BN, cabaran dalaman parti itu lebih kuat berbanding berhadapan dengan pihak pembangkang.

“Sejauh manakah Datuk Seri Najib Tun Razak dapat memastikan calon-calon komponen BN? Mungkin beliau arif dengan Umno, bagaimana pula dengan parti komponen yang lain? Tambahan dengan keadaan di Sabah ketika ini, mungkin BN perlu merubah strategi yang sebelum ini sudah dibuat,” katanya.

Mengulas perkara sama, PR pula dilihat perlu menyelesaikan masalah-masalah dalaman parti seperti di Selangor yang berhadapan dengan saman ibu tunggal, tuntutan air percuma, bantuan kepada warga emas dan janji kepada ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah tadika yang tidak dilunaskan.

“Manifesto Rakyat yang dilancarkan baru ini tidak nampak perbezaan dengan manifesto lalu. Semua benda sama, benda lama tak siap macam mana nak buat yang baru?” katanya lagi.