• Hishamuddin Tun Hussein Hishamuddin Tun Hussein
1 /

JOHOR BAHRU - Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) pada 5 Mei ini adalah medan ujian kepada kesetiaan anggota Barisan Nasional (BN) negeri Johor, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Sembrong berkata PRU13 itu juga adalah yang paling mencabar bagi BN negeri berikutan tumpuan pihak pakatan pembangkang yang membawa masuk ramai calon dari luar untuk bertanding di negeri itu.

"Ini bukan sekadar cabaran yang kuat tetapi juga ujian untuk merapatkan barisan kita bagi menunjukkan kesetiaan kepada parti," katanya selepas Majlis pelancaran Manifesto BN Johor dan penyerahan watikah calon PRU13 di sini hari ini.

Hishammuddin berkata pilihan raya kali ini melebihi kepentingan mana-mana individu atau kumpulan tertentu dan ia merupakan masa untuk memastikan kemenangan parti bagi membuktikan Johor adalah tiang seri BN.

Oleh itu beliau mahu agar mereka yang tidak dicalon bangkit secepat mungkin daripada kekecewaan mereka dan menguatkan azam serta tekad untuk meneruskan perjuangan parti.   

Mengenai kerusi parlimen Gelang Patah, beliau berkata dengan pengumuman Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman sebagai calon 'heavyweight' kawasan itu, BN mempunyai peluang yang lebih cerah untuk memenangi kawasan parlimen itu kerana beliau mempunyai rekod yang bagus dalam melaksanakan pembangunan di Johor.

Sehubungan itu, Hishammuddin berkata sokongan padu daripada anggota BN Johor terhadap Abdul Ghani penting bagi memastikan kemenangan yang bakal menentukan
pembangunan berterusan di Gelang Patah yang berada dalam lingkungan kawasan pembangunan Iskandar Malaysia. - Bernama