• Protes lokasi penyokong Khalid (kiri) menyuarakan ketidakpuasan mengenai lokasi penyokong PR yang didakwa jauh dan terhalang, semalam.
1 /

SHAH ALAM - Proses pengumuman calon bertanding bagi kerusi Parlimen Shah Alam dan dua Dun terhenti seketika apabila calon Pas, Khalid Samad  menyuarakan ketidakpuasan mengenai lokasi penyokong PR yang didakwa jauh dan terhalang.

Ketika Pengurus Pilihan Raya Parlimen Shah Alam, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan mengumumkan  calon, Khalid mencelah meminta kebenaran agar penyokong PR dianjakkan lebih dekat supaya jelas dengan pengumuman tersebut.

Khalid mendakwa, penyokong BN berada lebih dekat tanpa halangan berbanding penyokong PR yang terhalang kenderaan MBSA.

“Seperti yang kita dapat lihat, lokasi penyokong PR jauh dan terhalang oleh dua kenderaan MBSA  dan  pembesar suara diletakkan tidak strategik. Ini menyukarkan mereka untuk nampak dan dengar ketika majlis penisytiharan calon di buat.

“Jadi, saya minta jasa baik MBSA agar dapat dianjakkan ke depan sedikit dan lebih adil untuk kedua-dua pihak. Datuk Bandar kemudian memanggil anggota polis bertugas dan mereka setuju walaupun Datuk Zulkifli Nordin (BN) cakap tak payah,” katanya ketika ditemui selepas pengumuman calon bagi Parlimen Shah Alam dan duan Dun, di Dewan Tanjung Seksyen 19, di sini, semalam.