KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (Harapan) memberi keyakinan akan menghapuskan tol secara berperingkat berdasarkan kontrak konsesi selepas 100 hari mentadbir Putrajaya.

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, dalam tempoh 100 hari kerajaan baharu akan menghapuskan kutipan tol seluruh negara secara berperingkat.

“Kita akan mansuhkan tol secara berperingkat berdasarkan kontrak konsesi.

“Namun prosedur penghapusan secara berperingkat itu akan diumumkan bila kita masuk Putrajaya,” katanya ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, di Parlimen, hari ini.

Sementara itu, Tun Mahathir turut memaklumkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga akan dihapuskan dalam tempoh 100 hari.

Beliau turut menyatakan, Harapan konsisten akan menyediakan pendidikan percuma kepada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Sementara itu, Ketua Whip DAP, Anthony Loke turut mempersoalkan tindakan berat sebelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menghalang Harapan untuk menggantung poster Tun Mahathir sebagai calon bakal Perdana Menteri.

“SPR maklumkan kepada kita tak boleh gantung poster Tun Mahathir sebagai calon bakal Perdana Menteri kerana Harapan belum didaftarkan maka Pengerusi Harapan juga turut diharamkan.

“Hanya gambar calon dan presiden parti serta menteri besar sahaja dibenar dipamerkan,” jelasnya.

Ahli Parlimen Seremban itu menyifatkan SPR berat sebelah sedangkan poster dan bendera kerajaan sudah lama digantung sedangkan belum masuk musim kempen pilihan raya.