JELI - Tanyalah sesiapa sahaja di daerah ini, mereka akan kata orang yang bertanggungjawab membawa segala perubahan tersebut adalah Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed atau lebih mesra disapaTok Pa.

Malah, Jeli kini menjadi tumpuan termasuk dalam aspek pendidikan apabila banyak institusi pengajian dibina di jajahan ini seperti Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), politeknik, kolej komuniti, Pusat Giat Mara, Sekolah Menengah Sains dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) selain berpuluh sekolah rendah, menengah dan agama dibina di jajahan ini.

Orang ramai mengakui, Mustapa individu bertanggungjawab mengubah landskap Jeli dan perubahan dilakukan secara keseluruhan sejak hampir 30 tahun lalu.

Daripada sebuah jajahan yang tidak ada ada apa- apa selain bukit bukau.  Kemudahan jalan raya pun tidak seperti hari ini.

Dulu segala urusan melibatkan bank atau jabatan perlu dilakukan di Tanah Merah.

Kehidupan penduduk jajahan ini suatu ketika dahulu sangat sulit walaupun mungkin di tempat lain sudah merasai kemudahan, dulu sungai menjadi penghubung antara satu lokasi ke lokasi yang lain kerana kemudahan jalan raya hanya wujud sekitar 1980- an.

Pembangunan dan proses naik taraf kemudahan awam jelas ketara di Parlimen Jeli khususnya di kawasan Dun Ayer Lanas apabila menjadi lokasi Kampus UMK, Politeknik dan MRSM.

Menurut seorang warga emas, Omar Ismail, 74, sebagai penduduk yang melihat sendiri perkembangan pembangunan di Jeli, dia bangga dengan mewujudkan pelbagai kemudahan di sini.

Menurutnya, Tok Pa telah membawa perubahan besar kepada Jeli dan apa yang dilakukan tidak akan mampu ditandingi orang lain.

“Pembangunan di Jeli pesat kini kerana Tok Pa. Dulu tak ada hospital, sekarang kita dah ada Hospital Jeli yang canggih dan lengkap.

“Dulu tak ada jalan yang elok seperti ini, sekarang ada. Perpustakaan semua dah tukar, sejak Tok Pa ada di sini, segalanya berubah,” katanya.

Menurutnya, sukar untuk mendapatkan pemimpin seperti Tok Pa yang memberi layanan baik kepada pekerja selain cakna kepada rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Guru Besar Daerah Jeli, Abd Rahim Haron berkata, Tok Pa banyak membantu dalam pendidikan yang menjadi antara agenda utama beliau.

“Antara yang dilakukan termasuk memperkenalkan program Tuisyen Darul Falah yang memberi penekanan terhadap Bahasa Inggeris (BI) dan Matematik bagi melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang bermula dari UPSR.

“Penekanan juga diberikan terhadap pendidikan BI di mana sebelum ini pelajar- pelajar di sini agak ketinggalan dalam mata pelajaran berkenaan.

Beliau yang juga Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Long berkata, Tok Pa bukan sahaja memberi galakan kepada pelajar-pelajar untuk cemerlang malah guru-guru kepada guru- guru pemangkin kecemerlangan itu sendiri.

“Dari semasa ke semasa kita melihat perubahan dan peningkatan itu, semuanya kerana kecaknaan Tok Pa terhadap aspek pendidikan di sini,” katanya.