BANDARAYA MELAKA - "Saya serahkan kepada Pengerusi BN Negeri, Presiden Parti dan Perdana Menteri," demikian menurut Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Datuk MS Mahadevan ketika ditanya mengenai kedudukannya pada PRU14.

Menurut wakil tunggal MIC di Melaka itu, sepanjang hampir lima tahun lalu, fokusnya hanyalah terhadap kerja selepas diberikan kepercayaan oleh pucuk pimpinan.

"Saya sebagai seorang Exco dan Adun bagi kawasan Gadek hanya bekerja, kerana pucuk kepimpinan telah meletakkan keyakinan dan kepercayaan kepada saya untuk bertanding di PRU13. Maka saya telah bertanding dan bersyukur telah mendapat sokongan di luar jangkaan.

"Saya telah mendapat sokongan daripada majoritinya orang Melayu. Saya benar-benar terhutang budi kepada masyakat Melayu di Gadek," katanya.

Pada PRU13 lalu, Mahadevan telah menang dengan majoriti 2,630 menewaskan pencabarnya, G Rajandran dari PKR dan calon bebas, Abdullah Sani Rejab.

Justeru, mengenai kedudukannya di PRU14, beliau menyerahkan kepada Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Idris Haron, Presiden MIC, Datuk Seri Dr S Subramaniam dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

"Kita hanya bekerja dan keputusan akan dinilai oleh pucuk pimpiman dan apa jua keputusan saya terima untuk kepentingan parti, negara dan kerajaan, malah itu yang lebih penting.

"Saya akan menyokong siapa juga calon yang dipilih, selagi saya di sini saya terus bekerja untuk rakyat kerana banyak yang perlu diselesaikan," katanya.

#prusinar
#aparakyatmahu