SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Mazian Nik Mohamad secara peribadi menyatakan sokongan terhadap kerjasama politik antara Pas dan Umno, selagi agenda perjuangan dan dasar Islam dapat dicapai.

Beliau berkata, Pas akan meneruskan agenda perjuangan Islam dan dasar Islam menjelang PRU14, sama ada bersendirian atau melalui pakatan parti politik.

“Pas bukan naif sangat dalam politik tanah air, namun kita tetap berpegang dengan dasar perjuangan Islam, kalau sendiri pun sendirilah.

“Kita usaha juga untuk berpakat. Berpakat dengan Harapan pun boleh, tapi dia marah. Nampaknya Umno pula yang nak berkawan dengan kita, kalau demi kepentingan Islam tak ada masalah.

“Kalau kita berpakat dengan Umno, mungkin kalah Harapan. Soal pakatan Pas-Umno itu kita belum tahu, tapi kalau ia berlaku saya sokong dan kalau tak berlaku pun, kita akan teruskan perjuangan dasar Islam,” katanya pada Forum Halatuju Malaysia Pasca PRU14 yang berlangsung di Dewan Kumpulan Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Selain itu, Nik Mazian berkata, Pas tidak akan sesekali akan meninggalkan dasar perjuangan Islam berlandaskan al-Quran dan hadis dalam membentuk satu kerajaan yang dipimpin ulama.

“Tak kira siapa pun yang sertai Pas, golongan profesional atau tidak mesti akur kepada pimpinan, yang sertai Pas mesti yang betul-betul istiqamah dan akur kepada pimpinan ulama.

“Justeru tak kira apa sekalipun, Pas tetap akan terus dengan perjuangan Islam menjelang PRU14, kalau kalah pun kalahlah kerana kita yakin ALLAH SWT akan memberikan kemenangan suatu hari nanti,” katanya.

#prusinar #aparakyatmahu