GELOMBANG PRU14 pada kali ini bakal menyaksikan pelbagai senario menarik susulan daripada beberapa perkembangan terkini dalam arena politik tanah air.

Malah, setiap parti politik pastinya tampil dengan pelbagai strategi dan perancangan teratur bagi membolehkan mereka menawan hati para pengundi.

Dalam situasi di Selangor, pelbagai gerakan telah dilaksanakan oleh jentera setiap parti bermula di peringkat akar umbi bagi memastikan mereka kekal relevan dan diterima rakyat menjelang PRU14 nanti.

Namun begitu, sesetengah pihak berpendapat bahawa selain daripada mengatur strategi, setiap parti politik juga perlu mengemukakan calon-calon menteri besar masing-masing dalam memberi keyakinan kepada seluruh rakyat di negeri ini.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Prof Madya Dr Jeniri Amir, pihaknya berpendapat isu pemilihan calon menteri besar ini tidak sewajarnya dibincangkan sebelum PRU14 ini berikutan ia dibimbangi akan mewujudkan pergeseran antara ahli dan penyokong parti.

Beliau berkata, pihak yang memenangi banyak kerusi dalam PRU14 nanti layak untuk memilih calon menteri besar mereka sejajar dengan prinsip demokrasi yang diamalkan di negara ini.

“Pada saya itu (pemilihan menteri besar) tak penting kerana seharusnya parti yang menang banyak kerusi yang layak untuk menentukan calon menteri besar mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Jeniri berpendapat bahawa  Adun Batang Kali, Mat Nadzari Ahmad Dahlan dilihat merupakan calon yang paling layak untuk menjadi menteri besar sekiranya BN berjaya menawan Selangor dalam PRU14 nanti berikutan beliau diterima rakyat dan mampu meneraju negeri ini.

“Bagi PKR pula, saya rasa calon yang sesuai adalah menteri besar sedia ada iaitu, Datuk Seri Mohamed Azmin manakala bagi Pas pula saya lihat Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi dapat diangkat menjadi menteri besar.

Sallehen Mukhyi

“Ini merupakan antara calon-calon yang saya lihat berpotensi sekiranya parti masing-masing menang dalam PRU14 nanti,” katanya.

Di samping itu, Pemerhati Politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berpendapat Mohamed Azmin dijangka bakal dikekalkan sebagai menteri besar sekiranya Harapan masih menguasai kemenangan di negeri ini berikutan daripada kejayaan beliau menerajui Kerajaan Selangor.

“Saya rasa Azmin masih lagi calon yang sesuai walaupun banyak tohmahan dilemparkan terhadap beliau,” katanya.

Di samping itu, beliau juga tidak menolak kemungkinan Exco Pas dalam Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Samad juga bakal diangkat sebagai menteri besar sekiranya parti Islam itu mentadbir Selangor selepas PRU14 nanti.

“Iskandar dilihat mempunyai banyak kelebihan untuk diangkat sebagai menteri besar jika Pas dapat menang kerana beliau mempunyai pengalaman di dalam pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Tambahnya, bagi BN pula, beliau berpendapat, Pengerusi Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar adalah antara individu yang dipercayai dapat diangkat sebagai calon menteri besar memandangkan beliau antara pemimpin yang lantang memperjuangkan nasib rakyat Selangor.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhd Taib menyatakan bahawa BN Selangor perlu berani mengemukakan calon menteri besar mereka bagi mempamerkan imej setara atau lebih baik berbanding pemimpin Pakatan Harapan (Harapan) atau Pas.

Malah, terdapat juga ura-ura mengatakan bahawa Umno mempertimbangkan tiga nama untuk menjadi calon menteri besar di Selangor sekiranya berjaya menawan negeri itu pada PRU14 nanti dan antara yang disebut-sebut adalah Mat Nadzari, Adun Dengkil, Shahrom Mohd Sharif dan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi.

Mat Nadzari Ahmad Dahlan

Namun begitu, sejurus berita tersebut menjadi tular, Umno Selangor menafikan membuat sebarang perbincangan mengenai perkara itu sehingga mereka benar-benar dapat merampas kembali negeri tersebut.

Ketika dihubungi Sinar Harian, Ketua Penerangan Umno Selangor, Datuk Zein Isma Ismail secara tegas menyatakan bahawa fokus parti ketika ini adalah untuk merampas kembali Selangor daripada Harapan dan bukannya tertumpu kepada pemilihan calon menteri besar.

“Nama calon menteri besar akan timbul sendiri selepas BN berjaya merampas negeri itu selepas PRU14 nanti.

“Itu (pemilihan calon menteri besar) tidak penting lagi kerana kita perlu fokus untuk menang dulu di Selangor,” katanya.

Kenyataan Zein tersebut menunjukkan bahawa Umno-BN kini lebih memberi fokus untuk mencapai kemenangan di Selangor terlebih dahulu berikutan daripada kekalahan yang dihadapi mereka dalam dua PRU sebelum ini di negeri tersebut.

Selain BN, Harapan dan Pas juga dilihat cuba mengambil jalan selamat dengan masih berteka-teki berhubung perkara ini tanpa membuat sebarang pendedahan mengenai calon menteri besar masing-masing.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika dihubungi Sinar Harian memaklumkan bahawa isu mengenai calon menteri besar di Selangor tidak pernah langsung dibangkitkan di dalam Mesyuarat Majlis Presiden Harapan sebelum ini.

Katanya, rakyat di Selangor dapat menilai sendiri kepimpinan ditunjukkan oleh Azmin yang dilihat berjaya membawa kemajuan terhadap negeri tersebut.

Selain itu, Pas Selangor sebelum ini juga menegaskan bahawa pihaknya akan memastikan jawatan menteri besar diisi oleh wakil rakyat dari parti Islam tersebut dan senarai calon berkenaan sudah dikenalpasti oleh kepimpinan parti.

Untuk rekod, sewaktu Kerajaan Selangor dilanda krisis ekoran pemecatan bekas Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim pada 2004 lalu, Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi merupakan antara nama yang disebut-sebut sebagai calon bagi mengisi jawatan tersebut.

Malah, dua lagi Exco Pas dalam Kerajaan Selangor, Datuk Iskandar Samad dan Zaidy Abdul Talib turut disebut-sebut sebagai calon menteri besar baharu pada waktu itu.

#prusinar
#aparakyatmahu