PONTIAN - Pemberian saguhati kepada nelayan di bawah Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Johor Selatan yang terjejas dengan pembangunan di negeri ini bukan perkara baharu, sebaliknya ia sudah dilaksanakan sejak empat tahun lalu.

Pengerusi PNK Johor Selatan, Azli Mohammad Aziz berkata, tidak timbul soal pemberian saguhati kali ini adalah sebahagian kempen PRU14.

“Saya tegaskan di sini, pemberian saguhati daripada kerajaan negeri kepada nelayan bertujuan untuk jaga kebajikan nelayan dan bukan perkara baharu sebab sudah empat tahun dilaksanakan,” katanya.

Jelasnya, pemberian saguhati nelayan yang bermula sejak tiga hari lalu melibatkan enam kawasan parlimen dengan jumlah penerima keseluruhan seramai 1,814 nelayan dengan RM3.6 juta.

“Parlimen Tanjung Piai mencatatkan jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 654 orang. Diikuti Gelang Patah dan Pulai yang akan diagihkan hari ini (esok). Seterusnya Pasir Gudang seramai 297 orang, Tebrau dan Johor Bahru seramai 326 orang,” katanya.

Menurut Azli, bayaran saguhati terbabit merupakan kali empat diberikan kepada nelayan di kawasan Johor Selatan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan nelayan pantai dan tradisional.

“Kerajaan negeri cukup prihatin bantu golongan nelayan dengan pemberian saguhati ini yang cukup besar maknanya bagi kami yang merupakan golongan berpendapatan rendah,” katanya.

#prusinar #aparakyatmahu