KUALA LUMPUR - Tindakan pihak tertentu memasang gegantung bersifat nakal terhadap Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tidak menjejaskan kredibiliti ahli politik itu.

Johari berkata, beliau tidak terperanjat dengan perkara itu dan yakin masih mampu meraih sokongan pengundi sekiranya dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Titiwangsa pada PRU ke-14 (PRU-14) nanti.

"Pada pilihan raya lalu, ada pihak edarkan video 'cut dan paste' mengatakan saya tidak mahu undi daripada pengundi Cina dan India, antaranya perbuatan orang dalaman juga.

"Tetapi akhirnya pengundi masih percaya pada saya kerana pengundi tidak boleh ditipu. Mereka lebih tahu dan boleh menilai pemimpin," katanya dipetik dari sebuah portal berita hari ini.

Isu ini timbul susulan tular gambar gegantung tertera 'Saya No!! To DJ' dan 'kami ahli UMNO akar umbi Titiwangsa memohon kepada YAB Perdana Menteri agar memilih calon lain selain daripada Datuk Johari #TolakJohariGhani #JoeSombong #JoeAngkuh #asalbukanjoeghani @JoeBongkak #ABJ.

Gegantung itu yang tersebar menerusi laman sosial dikhabarkan digantung di sekitar kawasan Chow Kit dan Keramat.

Johari yang juga Menteri Kewangan II berkata, pengundi di kawasannya terdiri daripada golongan berpendidikan dan mampu menilai pemimpin yang sentiasa boleh bersama mereka dan bukannya muncul pada musim pilihan raya saja.

"Kalau pemimpin datang setakat nak pilihan raya, saya rasa ini bukan politik 30, 40 tahun dulu. Hari ini kita mempunyai pengundi berpendidikan tinggi, boleh menilai orang.

"Perkara ini (memburukkan ahli politik) bukan satu masalah, ia biasa berlaku dalam politik. Jika kita mahu berada dalam politik, ini perkara yang perlu dihadapi," katanya.

Susulan itu, satu laporan polis turut dibuat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi oleh Umno Bahagian Titiwangsa.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Singkir individu sabotaj Datuk Jo ]

Laporan berkenaan dibuat oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Titiwangsa, Datuk Affendi Zahari yang mahu polis menyiasat perkara berkenaan kerana dipercayai wujud gerakan terancang untuk tujuan menjatuhkan kredibiliti Johari atau mesra dipanggil Datuk Jo untuk kekal sebagai calon wakil rakyat Titiwangsa.

#prusinar #aparakyatmahu