CYBERJAYA - Pas tidak menolak untuk bekerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan selepas PRU14.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu boleh direalisasikan jika konsep dan manifesto dibawa oleh Pas dapat diterima oleh parti yang mahu bekerjasama dengan pihaknya.

“Bila Pas jadi ‘king maker’, Pas boleh bekerjasama dengan parti-parti lain, dengan siapa kita nak bekerjasama, tunggu keputusan PRU4. Kita tak tahu sama ada menang atau kalah.

“Bagaimanapun, parti yang mahu bekerjasama dengan Pas mesti menerima konsep kita kemukakan dalam manifesto bagi mana-mana parti ini yang akan jadi rakan dalam kerajaan apabila kita jadi 'king maker',” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Manifesto Malaysia Sejahtera Peringkat Pertama, sebentar tadi.

Ditanya adakah Pas akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan jika parti itu memerintah negara, Abdul Hadi dalam nada sinis berkata: “Kita tak tahu dia (Harapan) dapat berapa kerusi pada  PRU14”.

#prusinar #aparakyatmahu