IPOH- BN Perak bercadang untuk menambah kuota calon wanita bertanding di kerusi Parlimen dan Dun pada PRU14 ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, laluan itu sebagai mengiktiraf peranan penting yang dimainkan wanita dalam menggerakan jentera setiap kali berlangsungnya pilihan raya.

"Kita tidak akan mengurangkan kuota sedia ada, malah sedang berusaha untuk menambah calon dan ia bukan hanya melibatkan Umno, MCA mahupun MIC, tetapi daripada kompenan lain juga," katanya selepas merasmikan Jentera Wanita dan Puteri BN Perak di Kediaman Menteri Besar, hari ini.

Pada PRU13 lalu, antara wanita BN Perak yang dicalonkan di kerusi Dun adalah Datuk Rusnah Kassim (Behrang); Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi (Tualang Sekah); Datuk Siti Salmah Jusak (Lubuk Merbau); Datuk Hamidah Osman (Sungai Rapat); Salbiah Mohamed (Temengor); Ceylyn Tay Wei Lung (Canning); Koh Ser Yun (Pantai Remis).

Sementara Parlimen, Ketua Wanita Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe (Taiping); Kathleen Wong Mei Yin (Ipoh Timur) juga Datin Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

Dalam pada itu, Ketua Wanita BN, Tan Sri Shahrizat Abd Jalil berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan jentera Wanita Perak.

Bagaimanapun pihaknya mengingatkan agar mana-mana pihak tidak menimbulkan sebarang polemik terhadap keputusan dibuat pucuk pimpinan.

"Bila sahaja calon dah dinamakan, jangan ada yang cuba timbulkan kemelut, kehadiran wanita mestilah untuk memenangkan parti.

"Di bawah pentadbiran Datuk Seri Zambry ini, saya lihat pengupayaan wanita berjalan dalam keadaan sistematik dan sempurna," katanya.

#prusinar  #aparakyatmahu