KUALA TERENGGANU - Harapan Terengganu menafikan dakwaan terlibat dalam usaha memancing beberapa tokoh Umno negeri untuk dijadikan calon dalam PRU14.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad menegaskan, calon yang dipilih Harapan ialah calon yang disenangi dan teguh dengan perjuangan parti.

“Pakatan Harapan nak buat perubahan jangka panjang, jadi, kalau nak mencapai perubahan itu kita mesti pilih calon-calon yang kita senangi jiwa mereka dan mereka tak mudah berpindah daripada perjuangan A ke B.

“Kita lebih cermat memilih calon bukan hanya sebab ketokohan calon itu, tetapi turut dipengaruhi falsafah perjuangan mereka,” katanya ketika ditemui pada pembentangan manifesto Harapan Terengganu di Pejabat Keadilan Gong Kapas, di sini, semalam.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya menafikan dakwaan bahawa parti itu ketandusan calon kerana calon yang dipilih bukan hanya bersandarkan nama dan ketokohan semata-mata.

“Saya rasa tiada ‘point’ untuk tuduh kita cari calon dari Umno sebab saya tak nampak ciri apa yang ada pada calon mereka untuk kita tarik bahkan bagi saya, kita dah cukup selesa dengan kumpulan yang kita ada .

“Kita pilih calon yang tak semestinya kelihatan gah atau ‘prominence’, tapi sebab perjalanan perjuangan jangka panjang itu yang kita tekankan,” katanya.

Terdahulu, Umno Terengganu mendakwa ada usaha dari pembangkang untuk cuba memancing calon dari parti itu terdiri bekas wakil rakyat dan bekas Adun yang pernah menjadi calon Umno.

Perkara itu didedahkan Ketua Pemudanya, Johari Abu Bakar.