SHAH ALAM - Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) bukan sembarangan penyokong yang bersama-sama parti Islam itu. Keterlibatan mereka bersama Pas adalah untuk memupuk semangat 'luar biasa' di atas dasar perjuangan Pas. DHPP yang sudah 12 tahun bersama Pas membuktikan, mereka bukan penyokong biasa.

Ikuti wawancara bersama Ketua Penenarangan DHPP, Dr Bala Chandran Gopal Krishnan

Sejauh mana peranan DHPP dalam menarik sokongan bukan Islam terhadap Pas?

Kita menjadi jambatan antara orang Islam dan bukan Islam dalam konteks Islam sebagai dasar perjuangan Pas. Kita mengajar mereka dasar perjuangan Pas dan dasar perjuangan Pas ini membawa kesejahteraan. Itu yang penting dan asas kepada kita.

Kita pertahankan itu, kita hendak Islam memimpin. Malaysia ini harus dipimpin oleh Islam sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. Kita orang bukan Islam, takkan hendak marah pula.

Kita duduk bersama mereka (bukan Islam) dan kita lihat di mana bahagian Islam yang melindungi kita (bukan Islam) dan kita gunakan itu (untuk tonjolkan kepada bukan Islam).

Apakah inisiatif DHPP dalam memastikan perjuangan Islam oleh

Pas disokong bukan Islam?

Kita ambil inisiatif untuk mengkaji Islam sebab kita memimpin, itu yang kita kena tahu. Kita kena tahu benarkah Islam itu saksama, benarkah Islam itu bukan perkauman. Apa yang berlaku sekarang, Islam menjadi satu ‘misinformed religion’ sebab semua orang pandai beri pendapat.

Tiada masalah untuk bukan Islam memberi pendapat mengenai Islam tetapi kena fasih, kena faham, kena pakar dalam pengajaran Islam barulah boleh sampaikan.

Sejauh mana langkah mengkaji Islam diambil oleh DHPP?

Kita mewujudkan Kursus Asas Kefahaman Islam di Institut Latihan Kepimpinan dan Perkadaran Dakwah Islamiyah (Ilham) untuk ahli-ahli DHPP. Jadi kita buat kursus ini supaya semua orang ambil pendekatan (memahami Islam) dan mereka tahu serba-serbi pasal Islam serta tahu bagaimana dan dasar perjuangan Pas ini supaya tidak lari daripada dasar perjuangan Pas.

Peringkat pertama kursus adalah seramai 10 orang dan bulan Mei nanti 10 lagi akan sertai kursus kali kedua.

Apakah tujuan utama kursus tersebut?

Tujuan kita untuk memastikan kita sokong hasrat Pas untuk memperkasakan Islam kepada bukan Islam. Apabila Islam diperkasa, baru mereka faham kepentingan untuk menjaga orang bukan Islam. Selagi tidak faham, mereka ingat mereka ditindas. Mereka perlu diberi kefahaman bahawa Islam itu adalah satu agama yang menjaga kepentingan orang Islam dan juga melindungi bukan Islam.

Untuk itu mereka kena perkasakan dalam konteks kanun jenayah Islam, memperkasakan mahkamah syariah dan sebagainya. Ini semua untuk orang Islam memahami ia adalah untuk menjaga kepentingan bukan Islam. Sebab itu kita menyokong (Pas).

Sejauh mana kefahaman ahli-ahli mengenai Islam berdasarkan inisiatif diambil setakat ini?

Kefahaman Islam dalam konteks bukan untuk menukar agama ataupun menjadikan seseorang bukan Islam kepada Islam tetapi kefahaman supaya Islam menjadi agama persekutuan Malaysia di mana 60 peratusnya orang Islam dan wajib pimpin negara dan kita kena faham Islam itu juga menjaga kepentingan minoriti di Malaysia termasuk bagaimana Islam menjaga kepentingan kita sebagai seorang bukan Islam. Itu yang kita ajar. Bukan ajar bukan Islam untuk memeluk agama Islam. Kita ajar memberi penerangan bagaimana Islam menjaga kepentingan bukan Islam dalam mewujudkan kesejahteraan dan keamanan.

Bagaimana pula pendedahan anda mengenai peruntukan lima kerusi parlimen dan 18 Dun yang diberi Pas kepada DHPP?

Kita tidak minta sebaliknya meletakkan kepada kebijaksanaan kepimpinan sebab kita tidak boleh melanggar arus. Kita kena yakin dan percaya ini ada hikmah bila Pas beri kerusi itu.

Adakah Dr Bala akan bertanding?

Kemungkinan besarlah sebab kita dalam kepimpinan DHPP ini, kemungkinan ada tetapi kita tidak mengharap apa-apa.

Adakah peruntukan kerusi itu menepati sasaran DHPP?

Bukan soal cukup atau tidak cukup. Ia soal bolehkah kita menjaga lima parlimen dan 18 Dun itu dalam umur DHPP yang masih baharu sebab kita ini lain sikit, kita tidak seperti parti lain. Kita kena pastikan calon ada tanggungjawab yang akan dihitung atas dosa dan pahala. Kita kena tapis calon.

Bagaimana dengan ikrar taat setia Pas?

Ikrar itu sangat mudah dan ia sebenarnya satu disiplin. Ikrar itu melindungi kita daripada melakukan dosa sebenarnya. Kita nampak macam itulah. Bila anda buat yang bertentangan dengan prinsip Pas, bererti melanggar Pas.

Bersediakah calon bukan Islam untuk mengangkat ikrar taat setia?

Tiada masalah kerana baiah lebih kepada orang Islam tetapi bagi kita kalau dilaksanakan tiada masalah. Saya percaya kebijaksanaan Pas mewujudkan keadaan menang-menang dengan wujudkan baiah Islam dan ikrar untuk bukan Islam.

Apa yang dititikberatkan oleh DHPP terhadap kriteria calon?

Kita kena pastikan calon DHPP tahu dasar perjuangan Pas, itu penting. Jangan kita lari dari itu, jangan cabar dasar perjuangan Pas. Kita kena bekerjasama dalam membentuk sebuah masyarakat sejahtera bersama dasar perjuangan Pas, itu penting.

Apakah harapan untuk PRU14?

Harapan kita supaya warga Malaysia mengkaji bagaimana hendak mewujudkan negara sejahtera, platform mana yang akan membentuk negara sejahtera itu dan kalau ada pimpinan yang ingkar dalam mewujudkan kesejahteraan kita kena patah semula dan kaji.

Jangan terlalu ikut keghairahan ahli-ahli politik dan kita kena kaji 60 tahun apa yang kerajaan buat sekarang, mana hala tuju kita dan selepas ini apa kita hendak tinggalkan untuk anak cucu kita.
 

#prusinar
#aparakyatmahu