KUALA NERUS - BN Terengganu telah muktamadkan semua calon yang akan bertanding dalam PRU14 dan senarai itu akan didedahkan dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman berkata, pemilihan calon itu dibuat setelah mengambil kira kehendak dan pandangan rakyat di kawasan terbabit

"Calon-calon (bagi kerusi BN) ini dipilih oleh rakyat. Tidak ada lagi yang disyorkan sebab ada agensi (dilantik BN) yang turun ke bawah untuk mendengar suara rakyat.

"Paling penting wakil rakyat yang dipilih itu perlu berwibawa dan dapat menjalankan tugas untuk beri khidmat terbaik kepada rakyat di bawab pimpinan mereka,"katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sepetang Bersama Menteri Besar, Warga Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Berhad di salah sebuah hotel di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope.

Jelas Ahmad Razif lagi, rakyat yang berhak menentukan siapa calon dan bukan disebabkan kroni tertentu.

"Pendekatan yang dibuat ini adalah untuk memastikan calon yang akan bertanding bagi kerusi BN bukan sahaja dapat melaksanakan tanggungjawab tetapi juga mesra dan disenangi rakyat,"katanya.

#prusinar #aparakyatmahu