BAGAN SERAI - Penambahan 9,000 daftar pemilih baharu diyakini cenderung menyokong BN dan Umno dijangka memberi kelebihan kepada BN Parlimen Bagan Serai untuk menyapu bersih empat kerusi di sini pada PRU14.

Pengerusinya, Datuk Sham Mat Sahat berkata, sehingga kini, sejumlah 11,000 penambahan daftar pemilih baharu sudah dilaksanakan pihaknya, menjadikan jumlah keseluruhan pengundi Parlimen Bagan Serai mencecah 58,969 orang.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 9,000 daftar pemilih baharu dicari sendiri oleh Umno dan BN, sekaligus memberi keyakinan pengundi baharu ini bakal memberi kelebihan kepada parti itu.

“BN Parlimen Bagan Serai berterima kasih di atas usaha Kemas, Jasa dan ketua kampung yang sentiasa berusaha mengesan pengundi baharu itu didaftarkan sebagai pemilih baharu sehingga menjayakan penambahan 11,000 orang.

“BN Parlimen Bagan Serai juga sudah bersiap siaga dan mewujudkan jentera pilihanraya utuh bagi menghadapi PRU14 yang mungkin diadakan pada bila-bila masa serta berkeyakinan mampu menyapu bersih empat kerusi dipertandingkan di Parlimen itu,” katanya kepada media selepas program Jelajah Menteri Besar Perak ke Parlimen Bagan Serai semalam.

Sham berkata, keyakinan tinggi memenangi kerusi Parlimen Bagan Serai, Dun Selinsing, Dun Gunung Semanggol dan Dun Alor Pongsu juga disandarkan atas ikatan kukuh di peringkat Umno bahagian tanpa pecah belah.

Menurutnya, Umno bahagian di kesemua empat peringkat sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinannya dan kini komited memastikan kemenangan parti pada PRU14.

“Dari segi senarai calon, kita juga sudah menyerahkan nama calon berpotensi bagi Parlimen Bagan Serai, Dun Selinsing, Dun Gunung Semanggol dan Dun Alor Pongsu kepada pucuk kepimpinan parti ditunjangi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Cuma kita berharap pucuk kepimpinan parti mempertimbangkan senarai nama pencalonan dicadangkan Umno bahagian kerana kami sudah membuat saringan dan yakin nama dicadangkan adalah pilihan terbaik disukai rakyat,” katanya.

#prusinar #aparakyatmahu