JOHOR BAHRU - Pembangkang menganggarkan 700,000 rakyat Malaysia berulang-alik ke Singapura termasuk 400,000 individu yang menetap di sana dan hanya pulang ke negara ini pada hujung minggu.

Setiausaha Publisiti DAP Johor, Wong Shu Qi berkata, golongan ini penentu yang akan mempengaruhi keputusan undian PRU.

Katanya, mereka main peranan penting terutama kerusi yang sebelum ini dimenangi BN dengan hanya majoriti tipis antaranya Dun Bekok yang dimenangi MCA mengalahkan DAP dengan majoriti 353 undian pada PRU13 lalu.

“Berdasarkan maklumat kita peroleh menerusi data dari media sosial terdapat kira-kira 700,000 rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura, ini termasuk 300,000 yang berulang-alik pada setiap hari dan selebihnya pula ke negara ini semula pada hujung minggu.

“Kita harap rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dan tinggal di sana pulang ke tanah air pada hari mengundi untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing,” katanya pada sidang media mengumumkan pelancaran talian hotline DAP Johor, semalam.

Mengulas mengenai talian hotline itu, Shu Qi berkata, ia bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat tepat dan jelas berkaitan parti itu di samping mengemas kini aktiviti dan kempen terkini sepanjang PRU.

“Langkah ini juga bagi mengelakkan orang ramai tidak mendapat berita palsu atau maklumat tidak tepat mengenai parti ini.

“Orang ramai boleh hantar maklumat peribadi seperti nama, kawasan tempat tinggal dan pilihan bahasa ke 0125194158,"  katanya.

#prusinar #aparakyatmahu