KIRA-kira 236 peserta Felcra Berhad dalam gugusan Tebing Runtuh, di sini menuntut baki pembayaran pampasan yang didakwa telah dipersetujui pada tahun 1996.

Ketua Kampung Sungai Melayu, Pandak Ahmad berkata, kesemua mereka terlibat dalam pengambilalihan semula tanah bagi memberi laluan kepada projek pembangunan yang dirancang di kawasan itu.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada April 1996 bersetuju bahawa pihak pemaju perlu membayar RM105 juta bagi 607 hektar tanah Felcra yang dikurniakan pada kadar RM70,000 untuk 0.4 hektar namun sehingga kini mereka hanya menerima RM37,000.

“Sebahagian peserta ada yang mempunyai tanah seluas 1.6, dua dan 2.4 hektar namun sehingga kini kami hanya dibayar RM37,000 untuk 0.4 hektar.

“Selain pampasan RM70,000 untuk 0.4 hektar, peserta turut diberikan saham bernilai RM65,000 namun sebahagian peserta iaitu seramai 42 orang yang mempunyai geran dua hektar tanah tidak diberikan saham,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Pandak berkata, perkara berkenaan telah beberapa kali dikemukakan kepada pihak kerajaan negeri namun sehingga kini tiada jalan penyelesaian bagi menjelaskan baki tuntutan peserta-peserta yang terlibat.

“Secara keseluruhannya, seramai 272 peserta terlibat tetapi 36 daripada mereka telah membuat tuntutan ke mahkamah dan berjaya mendapatkan baki tuntutan masing-masing.

“Kami berharap perkara ini dapat diselesaikan dengan baik dan tidak berhasrat menggunakan khidmat pihak ketiga bagi mengetengahkan tuntutan ini.

“Sebelum ini perkara ini juga telah dibawa semula kepada Pejabat Daerah Johor Bahru dan Pejabat Tanah dan Galian susulan lawatan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ke kawasan ini baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, waris peserta Felcra, Zait Idris, 65 berharap, isu tuntutan berkenaan dapat diselesaikan segera memandangkan bapanya telah lama meninggal dunia malah dia kini merupakan satu-satunya anak yang masih hidup.

“Bapa saya memiliki 2.02 hektar tanah dan mempunyai geran tetapi tidak diberikan saham seperti peserta lain dan hanya dibayar pampasan RM37,000 untuk 0.4 hektar.

“Saya sendiri turut terlibat dalam pengambil-alihan tanah ini melibatkan tanah 1.6 hektar dan berharap ia dapat segera diselesaikan tambahan pula punca pendapatan saya sebagai nelayan semakin terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Pandak turut mengetengahkan tuntutan pampasan bagi pengusaha rakit kupang dan nelayan pantai yang terjejas susulan projek menambak laut berhampiran perairan Kampung Sungai Melayu.

“Sejak kira-kira lima tahun lalu pendapatan pengusaha rakit kupang dan nelayan di sini mula terjejas dan sukar mencari rezeki akibat projek tambak laut berkenaan.

“Terdapat 21 pengusaha rakit kupang aktif di sini membabitkan 46 rakit serta lapan pengusaha tidak aktif kerana rakit yang sudah musnah manakala jumlah nelayan pantai pula kira-kira 30 orang.

“Malah kesemua pengusaha rakit dan nelayan yang terlibat telah diberikan notis supaya keluar dari kawasan mereka beroperasi,” katanya.

Katanya, pihaknya telah mengemukakan tuntutan pampasan berjumlah RM20,000 bagi setiap rakit yang masih beroperasi dan pampasan RM5,000 kepada pengusaha rakit tidak aktif manakala pampasan RM5,000 hingga RM10,000 kepada nelayan.

“Pampasan ini bagi membantu pengusaha yang terlibat membeli peralatan menangkap ikan dan bot yang lebih canggih supaya mereka tidak perlu mencari hasil laut di kawasan ini.

“Tuntutan ini bagi memastikan mereka dapat mencari punca pendapatan bagi menyara keluarga,” katanya.