TAWAU - Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 (PPPM) yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam bertujuan melahirkan pelajar berkualiti tinggi, kata Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching.

Justeru, katanya warga pendidik termasuk guru dan pentabir sekolah mesti memahami aspirasi PPPM bagi memastikan pelaksanaan pelan pendidikan sepanjang 13 tahun itu berjalan lancar, sekali gus mencapai matlamatnya.

"Sekiranya kita nak lahirkan pelajar berkualiti bermakna kita juga mesti memberi latihan kepada guru untuk melahirkan guru berkualiti. Anda tentu sudah maklum, seperti disebutkan Tan Sri Muhyiddin, bahawa (syarat) pengambilan guru akan ditingkatkan.

"Tiga puluh peratus pelajar terbaik (dalam Sijil Pelajaran Malaysia) akan diberi peluang (mengambil bidang perguruan). Seperti disebut Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh, mereka yang hendak memohon menjadi guru hendaklah (sekurang-sekurangnya) memperoleh 7A bagi calon di Semenanjung dan 5A bagi calon dari Sabah dan Sarawak," katanya.

Yap berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Perjumpaan Khas dengan Warga Pendidikan Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Pendidikan Sabah Jame Alip.

Beliau berkata sepanjang pelaksanaan PPPM berkenaan, guru akan diberi latihan dan bimbingan  berterusan termasuk melalui pendekatan Komuniti Pembelajaran Profesional dengan guru-guru pakar akan membantu guru dan pengetua lain bagi meningkatkan kemahiran guru di sekolah.

Menurut Yap, mereka yang bakal dilantik menjadi guru besar dan pengetua pula, wajib menghadiri program khas di Institut Aminuddin Baki (AIB) sebagai persediaan  melahirkan guru besar dan pengetua cemerlang.

"Banyak transfomasi akan berlaku secara berperingkat sepanjang pelaksanaan PPPM dalam tempoh 13 tahun mulai tahun ini. Sepanjang pelaksanaannya, pihak kementerian juga mengadakan proses penilaian dan refleksi dengan rakyat diberi ruang mengemukan pandangan," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, beliau meminta warga pendidik supaya banyak bersyukur kerana kebajikan mereka sentiasa dipelihara kerajaan sehingga kedudukan mereka jauh lebih baik berbanding guru-guru di negara lain. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.
Artikel berkaitan yang patut anda baca :