SHAH ALAM - Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin menyelar tindakan sesetengah pemimpin PKR yang tidak mengikut saluran yang betul dalam membuat keputusan mengosongkan kerusi Parlimen Port Dickson, hari ini.

Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang berkata, setiap keputusan diambil parti berkenaan sewajarnya dilaksanakan secara musyawarah untuk mendapat sokongan dari seluruh anggota parti dan konsensus yang dicapai perlu selari dengan semangat reformasi dan demokrasi.

Menurutnya, dia khuatir sekiranya proses membuat keputusan tidak dijalankan dengan secara terbuka, telus dan demokratik, ia akan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Ini seolah-olah memperlihatkan PKR telah dimanipulasi oleh kelompok tertentu. Adalah penting seluruh kepimpinan PKR menjunjung tinggi agenda reformasi yang kita perjuangkan selama ini.

“Saya amat berharap Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri akan mengumumkan pendirian beliau mengenai perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan akhbar, hari ini.

Zuraida berkata, kepulangan Anwar ke Parlimen Malaysia merupakan suatu perkara yang didambakan oleh setiap anggota PKR, para aktivis reformasi dan juga rakyat di negara ini.

Menurutnya, perjuangan reformasi selama 20 tahun untuk memulihkan kembali negara telah tercapai pada PRU14 yang lalu.

“... Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memainkan peranan yang sangat besar dalam penyatuan kesemua parti komponen dalam PH.

“PKR yang diasaskan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri perlu berdiri di atas paksi ketelusan dan mendukung demokrasi pada tahap yang tertinggi,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Port Dickson untuk Anwar]

 Sidang media di Ibu Pejabat PKR tadi telah merungkai teka-teki seluruh rakyat Malaysia apabila hari ini, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen P132 Port Dickson.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah secara sukarela mengosongkan kerusinya buat Anwar bagi membolehkan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri ke lapan kelak.