KUALA LUMPUR - Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin belum memutuskan untuk bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu bulan depan.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata keputusan tersebut bergantung pada keadaan dan kelompongan jawatan berkenaan.

“Saya belum fikir lagi. Insya-Allah saya akan lihat keadaan. Saya dah lepaskan untuk bertanding ketua wanita.  

“Saya lihat bagaimana percaturan di atas. Yang mana saya rasa ada kelompongan (jawatan), Insya-ALLAH saya akan masuk,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia oleh menteri dan timbalan menteri di Istana Negara di sini hari ini.

Sebelum ini Zuraida dilaporkan tidak akan mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Wanita PKR dalam pemilihan kali ini bagi memberi laluan kepada golongan lebih muda. - Bernama