ZAID IBRAHIM
$entry.content.caption.value

SHAH ALAM -  Datuk Zaid Ibrahim telah menarik balik keputusan untuk membubarkan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita), tiga hari selepas beliau mengejutkan banyak pihak termasuk ahli dan pengikutnya akan memanggil satu mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi tujuan itu.

Sinar Harian Online difahamkan Zaid menerusi pegawai kanannya telah memaklumkan beberapa pengerusi negeri pagi ini.

Pengerusi Kita Johor, Dr Mohd Zaid Mohd Yusof ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

"Saya menerima panggilan sekitar jam 8 pagi tadi, Pegawai Perhubungan Pusat parti Kita, Aziz Kadir ada menghubungi saya untuk memaklumkan pendirian terbaru Datuk Zaid iaitu tidak mahu membubarkan parti Kita, EGM tidak akan diadakan," kata beliau.

Justeru kata Mohd Zaid, jika benar perkembangan tersebut, pihaknya menyambut baik keputusan itu memandangkan memang tiada alasan atau sebab Kita harus dibubarkan.

Kata Mohd Zaid, beliau mengucapkan terima kasih kepada Zaid kerana bersedia untuk mendengar pandangan pengerusi-pengerusi negeri yang merasakan tidak perlu diadakan EGM untuk membubarkan Kita.

"Ini perkembangan baru. Apa yang penting sekarang ialah kepimpinan parti perlu mengadakan mesyuarat khas untuk membincangkan segala isu yang timbul dan menyusun strategi hala tuju menghadapi cabaran pilihan raya.

"Kita sebenarnya sudah mula mendapat sambutan. Sekarang ini pun saya sedang menghadiri majlis menerima ahli-ahli baru di Senggarang," katanya ketika dihubungi petang ini.

Dalam pada itu ketika ditemui di Senggarang, Batu Pahat lewat petang ini, Mohd Zaid berkata: “Harap selepas ini tiada lagi isu berbangkit mengenai pembubaran daripada mana-mana pihak kerana Kita tidak dibubar dan sudah tiba masanya jentera Kita seluruh negara laksana tugas dan tumpu perhatian."

“PRU13 semakin hampir dan setiap jentera perlu kerja keras untuk mendapatkan sekongan serta kejayaan,” katanya semasa penyerahan borang ahli-ahli baru Kita Johor.

Katanya, Kita akan meneruskan perjuangan mengikut zon yang telah ditetapkan sebelum ini.

"Kita tidak musuh dengan mana-mana parti lain, cuma berbeza idealogi dengan mengutamakan sederhana, liberal dan demokratik.

“Kami berharap kita akan jadi ‘third force party’ yang berkesan dan dihargai oleh rakyat," katanya sambil menambah, di Johor, Kita mempunyai lebih 5,000 penyokong yang aktif.

Kelmarin, Mohd Zaid bersama pengerusi beberapa negeri melahirkan pendirian tidak setuju dengan langkah Zaid mahu membubarkan Kita.

Dalam pada itu, Pengerusi Kita Kedah, Zamil Ibrahim yang dihubungi berkata, beliau tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara tersebut.

"Cuma saya ada dengar begitu. Tetapi, saya berpendirian bahawa kemungkinan Datuk Zaid mengambil pendirian baru ini ekoran bantahan daripada banyak pihak dalam Kita," katanya.

Tegas Zamil, pendirian beliau masih sama sebagaimana dilahirkan kelmarin iaitu Zaid harus berundur daripada memimpin Kita dan memberi laluan kepada orang lain yang mampu dan berkemampuan untuk menerajui parti berusia setahun ini.

"Beliau boleh menyertai sama ada BN atau Pas memandangkan ada pihak sudah mempelawa beliau, seperti yang disiarkan oleh akhbar hari ini... beliau sudah tidak layak untuk menerajui Kita," katanya lagi.

Khamis lalu, Zaid berkata, akan membubarkan parti itu untuk menghapuskan sebarang keraguan yang mendakwa bahawa mereka tidak memihak kepada  pembangkang.

Menurut Zaid, Kita akan dibubarkan menerusi EGM yang akan diadakan tidak lama lagi tetapi tidak memaklumkan tarikhnya.

Usaha untuk mendapatkan pengesahan Zaid masih belum berhasil.


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.