PAPAR - Ketua Umno Papar, Datuk Abdul Rahim Ismail yakin keutuhan Umno Sabah tidak tergugat dengan tindakan dua bekas pemimpinnya menyertai parti pembangkang.
"Terpulanglah kepada rakyat untuk menilai tindakan mereka itu kerana rakyat pun sudah tahu siapa mereka sebenar.
"Mereka boleh kata apa sahaja tentang BN mahupun Umno, namun rakyatlah yang lebih berhak untuk memutuskan sama ada menyokong atau menolak mereka," katanya kepada Bernama, di sini hari ini.
Abdul Rahim mengulas tindakan bekas timbalan menteri persekutuan Datuk Yahya Lampong dan bekas bendahari Umno Sabah Tan Sri Ibrahim Menudin menyertai PKR.
Abdul Rahim yang juga Pengerusi Risda Holding berkata, tindakan kedua-dua pemimpin itu juga tidak menggugat Umno Bahagian Papar kerana anggota-anggota parti itu tetap setia kepada Umno.
"Kami (Umno Papar) menyerahkan sepenuhnya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengambil apa juga langkah terbaik untuk Sabah," katanya. - Bernama




