PETALING JAYA - Presiden Parti Amanah, Mohamad Sabu mengakui bahawa parti pimpinannya itu 'kemaruk' kuasa.

Ini jelasnya, sebagai sebuah parti yang bertanding dalam pilihan raya, sudah semestinya pihaknya mahu menang dalam sesuatu pertandingan pilihan raya yang diadakan.

"Memanglah. Kami nak ambil kuasa.

"Tujuan pilihan raya kita bertanding kerana nak ambil kuasa. Bukan kita bertanding nak seronok," katanya kepada pemberita selepas sidang media Pakatan Harapan di Ibu pejabat Bersatu, di sini hari ini.

Katanya lagi, pihaknya juga mahu merampas kuasa daripada 'orang gila kuasa'.

"Kita masuk pilihan raya sebab nak ambil kuasa, sebab kita nak rampas kuasa daripada orang gila," katanya lagi yang mesra dipanggil Mat Sabu.

Konvensyen Amanah Selangor semalam meluluskan usul supaya Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menimbang semula kedudukan Pas di negeri itu.

Bagaimanapun, Pas hari ini membidas Amanah 'kemaruk kuasa', selepas parti serpihan Pas itu menggesa Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali menimbang semula kedudukannya dalam kerajaan negeri.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehen Mukhyi turut mempersoalkan usul Amanah Selangor itu ketika tiada masalah dalam pentadbiran negeri.

“Bagi saya, itu bukan soal pilihan raya tetapi soal kemaruk kepada kuasa,” katanya petik laporan portal tempatan.

Terdahulu dalam sidang medianya, Mat Sabu menjelaskan bahawa Pakatan Harapan akan mengadakan satu Himpunan Rakyat 'Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi' yang akan diadakan pada 14 Oktober ini, bertempat di Petaling Jaya.

Katanya, pelbagai acara lain turut disertakan dalam himpunan itu antaranya ceramah, persembahan kebudayaan dan lain.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.