MUAR - Bagi seorang warga emas, yang telah mengundi sejak pilihan raya umum (PRU) yang pertama, mengundi  Barisan Nasional (BN) setiap kali pilihan raya telah menjadi satu kemestian.

Didorong oleh keyakinan hanya BN yang boleh membawa kesejahteraan kepada rakyat, Ngadiah Kasiman berusia 100 tahun, masih  setia mahu mengundi BN pada PRU14.

Wanita ini yang tinggal di Kampung Sagil Parit 1, dekat sini, sejak lebih 60 tahun lalu, berasal dari Serom 4, Muar sebelum berhijrah ke Sagil setelah berkahwin dengan pasangannya, Sarman Sonokario yang meninggal dunia pada 2006.

“Selagi saya hidup, saya akan undi ‘dacing’ (BN) jika yang lain saya tidak mahu,” katanya kepada Bernama dalam loghat Jawa yang diterjemahkan anaknya Jaminah Sarman, 57, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sagil Parit 1 di sini.

Lebih menyenangkan hatinya, prinsip Ngadiah dikongsi anak dan menantunya, Ahmad Omar Ithnin, 59, yang turut setia menyumbang undi kemenangan kepada BN kawasan Gambir sejak sekian lama.      

Jaminah berkata sejak layak mengundi pada usia 21 tahun, dia dinasihati ibunya supaya mengundi BN kerana ibu menyatakan BN adalah parti yang membawa pelbagai kemajuan di kawasannya.

“Ia memang benar. Sejak saya mengenal erti kemajuan, saya merasa bagaimana Kampung Sagil ini dari tiada elektrik dan air paip sampailah ke tahap sekarang ini, semua kemudahan telah ada termasuk capaian internet hasil inisiatif yang dibawa oleh BN.

“Jadi untuk kali ini (PRU14) ibu, saya, suami dan anak-anak yang layak mengundi akan tetap memilih BN walau siapapun calonnya kerana saya tahu pilihan itu tidak salah,” katanya.

Jaminah berkata ibu dan arwah ayahnya menyara hidup dengan menoreh getah untuk membesarkannya tiga beradik sehingga mampu mempunyai tanah sendiri untuk diusahakan dan membina rumah.

Ayahnya Sarman semasa hidup juga merupakan pengundi BN dan aktif dalam berkempen setiap kali PRU termasuk menjadi peraih undi.  

Malah kini, Jaminah berkata, ibunya merupakan penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan penerima Bantuan Orang Tua dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setiap bulan.

“Bantuan ini bukti orang tua tidak dipinggirkan. Ia juga banyak membantu saya mengurangkan kos sara hidup kerana saya menjaga ibu saya sekarang,” katanya yang juga menerima BR1M.

Sementara itu, Ahmad Omar berkata beliau bersyukur dengan kerajaan yang ada, dia sekeluarga dapat menjalani hidup selesa termasuk pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk anak-anaknya yang melanjutkan pelajaran ke universiti.

“Tiga daripada enam anak saya juga kini bekerja dengan kerajaan yang menyediakan pelbagai kemudahan termasuk pencen,” katanya yang mempunyai enam orang anak berusia lingkungan 17 hingga 38 tahun. - Bernama