SIMPANG RENGGAM – Wanita PKR Johor mahu ahli-ahlinya di seluruh negeri ini bersatu dan menghapuskan sentimen sokongan kepada mana-mana kumpulan seperti yang berlaku di dalam pemilihan PKR sebelum ini.

Ketuanya, Rahamizon Abdul Ghani berkata, beliau tidak menafikan sewaktu pemilihan lalu, wujudnya kem-kem tertentu termasuk di kalangan Wanita PKR sehingga menimbulkan pelbagai persepsi sehingga mengganggu gerak kerja parti.

"Jadi, untuk bergerak sebagai satu kumpulan, tidak sewajarnya sentimen tersebut terus dibawa dan sebab itu saya fokus untuk merapatkan semula ukhuwah ahli parti dan apa yang penting, tidak ada mana-mana kem di dalam Wanita PKR Johor selepas ini.

"Sekarang adalah masanya untuk kita bekerja memandangkan PH sudah menjadi kerajaan dan kebersamaan itu penting kerana rakyat sentiasa menilai kita dan kita perlu bekerja dengan lebih keras lagi," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Kepimpinan Wanita PKR Johor dan Mesyuarat Wanita Cabang Simpang Renggam di Bilik Mesyuarat Restoran Jumaat, di sini, semalam.

Turut hadir ialah timbalannya, Tan Poh Lai; Ketua Srikandi PKR Johor, Nur Khurul Ain Abdul Samat dan ahli-ahli jawatankuasa Wanita PKR Johor.

Menurutnya, di Johor sahaja, terdapat 26 cabang wanita namun dari jumlah tersebut, hanya terdapat 24 cabang sahaja yang mempunyai sayap manakala dua lagi cabang iaitu Mersing dan Tanjung Piai masih dalam penajaan lagi.

Katanya, beliau juga menjangkakan pertambahan ahli-ahli baharu selepas ini memandangkan sistem pendaftaran ahli baharu sebelum ini ditutup oleh PKR bagi membolehkan ahli-ahli yang ada terlibat dalam pemilihan PKR beberapa bulan lalu.

"Sebab itu ada pendaftaran ahli yang masih tergantung sehingga ke hari ini dan selepas sistem tersebut dibuka semula oleh pusat, akan ada kira-kira 1,000 pendaftaran yang akan dibuat dalam masa terdekat ini dan ahli-ahli kami juga akan giat untuk mencari ahli-ahli baharu.

"Cuma sekarang ini, kita hendak kenal pasti beberapa cabang yang belum ada pemilihan mungkin disebabkan masalah-masalah tertentu dan kita juga sudah kenal pasti cabang-cabang yang hendak dibuat penajaan," katanya.

Pada masa sama, gandingan muka-muka baharu dan lama yang menjadi ahli jawatankuasa Wanita PKR Johor juga diharap akan menjadi satu koordinasi yang baik dengan Pusat selain komited untuk melancarkan pergerakan dan tadbir urus wanita di negeri ini.