KUALA LUMPUR - Angkatan Wanita Amanah Nasional (Awan) tidak perlu berasa rendah diri atau mempunyai sifat 'takut-takut' untuk menyuarakan apa sahaja pandangan berkenaan perjuangan parti itu, khususnya pada Konvensyen Nasional Ketiga parti itu, pertengahan bulan ini.

Ketuanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, anggota sayap parti itu perlu memainkan peranan berkesan dengan mengemukakan pendapat mereka untuk dibincang bersama demi kebaikan dan kelangsungan parti.

"Jangan lagi rasa rendah diri untuk menyuarakan pandangan...jangan simpan.  Kita mahu parti Amanah terus 'survive' dengan adanya kolektif suara Pemuda, Awan dan  Wanita Muda,” katanya kepada Bernama.

Konvensyen Nasional Amanah 2018 di Ipoh, Perak dari 14 hingga 16 Disember ini dijangka dihadiri 1,000 anggota perwakilan daripada 156 kawasan sah berdaftar, merupakan yang pertama diadakan selepas parti itu menjadi sebahagian daripada komponen Pakatan Harapan yang membentuk kerajaan.

Dr Siti Mariah berkata, perancangan dan strategi perlu disusun secara bersama untuk memantapkan lagi kedudukan parti yang ditubuhkan sejak September 2015 itu.

“Sememangnya saya tidak mahu ahli Amanah berasa selesa dengan apa yang ada sekarang. Segala jerih payah perjuangan kita telah terbalas, maka kita perlu berbakti kepada masyarakat,” katanya, dan menambah, Awan akan mengetengahkan 20 anggota perwakilan pada Konvensyen kali ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, Pemuda akan diwakili  20 ahli perwakilan yang dipilih menerusi Konvensyen Pemuda baru-baru ini, dan masing-masing akan mengambil bahagian berbahas selain menzahirkan keberanian menegur pucuk pimpinan parti.

“Kita mahu tambah baik aspek moral, disiplin, integriti dan pencapaian.  Kalau boleh, tegur masa itu juga. Ini kita mahu daripada barisan Pemuda kita,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad percaya ahli parti boleh bersifat rasional dalam membuat pertimbangan terhadap prestasi menteri dan timbalan menteri daripada parti itu yang dilantik dalam kepimpinan kerajaan.

Khalid yang juga Menteri Wilayah berkata sebagai ahli parti yang diberi mandat, konvensyen itu memberi peluang terbaik kepada mereka untuk memperjelaskan pencapaian masing-masing dalam tempoh enam bulan ini.

"Ahli perwakilan terbuka untuk memberi pandangan dan teguran atas prestasi mereka yang dilantik. Pada masa sama kita (anggota yang dilantik menteri/timbalan menteri) ambil kesempatan juga menjelaskan kepada mereka.

"Kadang-kadang dia (ahli parti) punya jangkaan tinggi...dia ingat bila kita dah jadi kerajaan kita boleh buat perkara tertentu... jadi kita kena perjelaskanlah sebagai sebahagian daripada mendidik masyarakat termasuklah ahli-ahli Amanah,” katanya.

Sembilan pimpinan tertinggi daripada Amanah menjawat jawatan menteri dan timbalan menteri dalam kabinet Pakatan Harapan  yang dipimpin Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Selain Khalid, Presiden parti Mohamad Sabu  dilantik sebagai Menteri Pertahanan, Timbalan Presiden Datuk Salahuddin Ayub (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) , Naib Presiden Datuk Dr Mujahid Yusof (Menteri di Jabatan Perdana Menteri-Agama)  dan Pengarah Strategi Dr Dzulkefly Ahmad (Menteri Kesihatan).

Jawatan timbalan menteri digalas Setiausaha Agung Anuar Tahir (Kementerian Kerja Raya), Pengarah Pilihan Raya Dr Mohd Hatta Ramli (Kementerian Pembangunan Usahawan), Datuk Mahfuz Omar (Kementerian Sumber Manusia), dan Mohamed Hanipa Maidin (Jabatan Perdana Menteri - Undang-undang).

Setiausaha Agung parti, Mohd Anuar Mohd Tahir sebelum ini berkata konvensyen kali ini selain akan memfokus kepada usaha pengukuhan parti juga akan menjadi medan 'post-mortem’ (pascanilai) bagi prestasi setiap pemimpin parti itu yang berada dalam kabinet. - Bernama