KOTA KINABALU - Satu laporan polis dibuat Pemuda Umno Sabah, susulan penularan video berita palsu berhubung dakwaan pemimpin negeri itu terbabit dalam amalan rasuah yang tular sejak semalam.

Penolong Setiausaha Pemuda Umno Sabah, Mohd Bahrin Abdul Karim berkata, penularan video itu yang didalangi oleh pihak pembangkang menunjukkan betapa tedesaknya pihak pembangkang untuk memegang kuasa sehingga sanggup menyebarkan fitnah.

Bahrin berkata, akhbar online The Star juga telah membuat kenyataan menafikan video yang berdurasi 1.34 saat menggunakan logo The Star TV dan The Star Online serta klip video mereka tanpa kebenaran.

“Kita telah membuat satu laporan polis di mana berita palsu yang telah ditularkan sejak daripada semalam, video itu dalam lingkungan 1.34 saat di mana mengatakan yang pihak pemimpin di Sabah banyak melalukan kegiatan rasuah adalah tidak benar.

“Saya telah membuat laporan polis juga untuk menyiasat benda ini dan meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan di atas akta berita yang tidak benar, yang telah dikuatkuasakan baru-baru ini,”katanya yang dipetik daripada portal berita Sayang Sabah.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu, hari ini.

Bahrin menyatakan, satu tindakan tegas perlu dikenakan terhadap individu yang menyebarkan video berunsur fitnah itu kerana telah mencemarkan nama baik pemimpin politik di Sabah.

Beliau berkata, jika perbuatan seumpama itu tidak dikekang lebih awal, beliau bimbang perkara itu akan menjadi satu kebiasaan pihak tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan orang lain.

“Tindakan tegas perlu dikenakan terhadap individu yang bertanggungjawab terhadap perkara itu kerana jika tidak dikekang lebih awal ia akan menyebabkan persepsi buruk masyarakat, “katanya.