PENDANG - Ketua Umno Bahagian Pendang, Datuk Suraya Yaacob kesal dengan keputusan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapha Mohamad dan Datuk Seri Anipah Aman meninggalkan medan perjuangan Umno.

Suraya berkata, tindakan itu sepatutnya tidak berlaku di saat parti dalam fasa pemulihan selepas kekalahan yang dialami PRU14 lalu.

Katanya, kehilangan kedua pemimpin berkenaan sememangnya mengecewakan dirinya.

"Namun tindakan keluar parti seperti itu tidak menggentarkan kami di Pendang, malah kami sentiasa berpegang teguh menjulang panji Sang Saka Bangsa merempuh badai menggila di depan mata," katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya hari ini.

Suraya berkata, Umno pernah menyaksikan pemimpin yang lebih hebat meninggalkan parti seperti Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn yang hilang keyakinan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad suatu ketika dahulu.

"Malah Mahathir juga sudah beberapa kali meninggalkan parti, tapi terkuburkah Umno?

"Tidak sama sekali, malah parti keramat bangsa ini tetap teguh berdiri meneruskan tradisi membela Islam, bangsa Melayu di bumi bertuah ini walaupun terpaksa menempuh pelbagai onak dan duri," katanya.

Suraya berkata, beliau yakin akan keteguhan Umno itu datangnya daripada semangat juang akar umbi pemimpin-pemimpin setia yang tidak goyah dirempuh badai.

"Jati diri itu semakin membara melihat kepentingan agama dan bangsa yang semakin terancam dalam tempoh empat bulan ini.

"Justeru, saya menyeru kepada seluruh pejuang Umno di segenap inci bumi Pendang agar memperkasa jati diri dan menghayati roh perjuangan parti.

"Perjuangan kita menongkah arus bukan berpaksi kepada individu, namun demi mengembalikan maruah perjuangan sebenar parti demi masa depan yang lebih gemilang, " katanya.

Tambah Suraya, jati diri perlu diperteguhkan agar perjuangan hari ini bakal melahirkan semula sebuah Malaysia yang jauh lebih baik," katanya.