KUALA LUMPUR - Umno tidak perlu menagih belas ihsan daripada mana-mana pihak sebaliknya, fokus menentukan hala tuju dan pengukuhan parti.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan apa yang paling penting bagi Umno sekarang adalah mengukuhkan parti.

"Kita tak perlu menagih belas ihsan dari mana-mana pihak kerana kekuatan Umno terletak kepada akar umbinya.

"Kerana perkara yang paling penting ialah kita kena jelas,apa yang sebenarnya kita ingin perkukuhkan dalam konteks Umno sendiri," katanya ketika ditemui di lobi Menara Dato' Onn selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di sini, hari ini.

Menurut Asyraf lagi, Umno juga perlu jujur dengan ahli-ahli tanpa menyembunyikan agenda dan perancangan parti.

"Kalau kita ada perkara- perkara yang diakui, kita perlu berlaku jujur kepada ahli kita.

"Malah paling penting, perjuangan asal dan akar perjuangan ini jangan sesekali kita longgarkan," tegasnya.

Umno mewakili suara Islam terbesar, jadi Asyraf berpendapat pimpinan tertinggi Umno wajar berusaha dalam aspek pengukuhan parti.

"Parti kita  (Umno) mewakili suara Islam terbesar. Hal demikian, kita tidak usah berasa gundah gulana kerana kekuatan Umno ini datangnya daripada kekuatan akar umbi.

"Akar umbi sedang menantikan apa yang sebenarnya mesej yang hendak disampaikan kepada orang lain, jadi tak perlu menagih ihsan daripada mana-mana pihak," ujarnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Umno tak sepatutnya merangkak cari Pas]

Semalam, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah berkata,

Umno tidak sewajarnya merangkak mencari Pas untuk memulihkan imejnya selepas kekalahan dalam PRU14, 9 Mei lalu.

Malah tanpa berselindung beliau menyatakan Pas tidak ikhlas bekerjasama dengan Umno.

“Saya tahu, saya dari Kelantan. Orang Umno Kelantan marah tak bersetuju dengan Pas, mereka kata tak ada keikhlasan," katanya.

Dalam perkembangan sama,beliau turut memaklumkan inti mesyuarat hari ini turut membincangkan berkenaan tindakan beberapa pemimpin Umno yang keluar parti.

"Ya, ada dibincangkan dan sebab itu hari ini ada pertemuan dengan ketua Umno bahagian," katanya.

Berkenaan keperluan penempatan calon Umno dalam pertempuran PRK Parlimen Port Dickson, Asyraf berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat biro politik yang dijadual esok.