SHAH ALAM - Umno akan menyiasat terlebih dahulu kesahihan keanggotaan 16 individu dikatakan ahli Umno yang memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman terhadap Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dan Umno bagi memohon perisytiharan bahawa parti itu melanggar perlembagaan.

Setiausaha Kerja Umno, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, buat masa ini pihaknya tidak mengetahui mengenai perkara berkenaan.

“16 ahli Umno? Saya pun tidak tahu. Tidak mengapa, bagi kita siasat dulu kesahihan sama ada mereka ahli Umno atau tidak. Lepas itu baru kita tengok macam mana,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Nazri Abdul Aziz seperti dilaporkan portal Malaysiakini berkata, status parti itu kini terletak di tangan mahkamah.

“Terserah pada mahkamah. Apa yang kita tak puas hati, kita (boleh) merayu di mahkamah,” katanya seperti dilaporkan.

Pada 27 Februari, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Adnan mengeluarkan kenyataan bahawa MT Umno telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan Umno selewat-lewatnya pada 19 April 2019.

Susulan itu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan dakwaan Tengku Adnan bahawa Umno mendapat kebenaran RoS menangguhkan pemilihan parti melebihi tempoh dibenarkan perlembagaan.

Bagaimanapun, RoS menafikan dakwaan tersebut dan menyatakan kelulusan permohonan perlanjutan pemilihan Umno untuk tahun 2017 selaras dengan perlembagaan parti itu.