SHAH ALAM - Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, beliau tidak melihat kemungkinan Umno/BN menarik diri daripada menyertai PRK Sungai Kandis.

Beliau sebaliknya merasakan parti keramat Melayu itu wajib menyertai PRK ini kerana ia akan menjadi medan untuk menguji sama ada Umno/BN mampu mengkoordinasi jentera mereka untuk bergerak sebagai pembangkang tanpa kuasa.

Beliau berkata, ini soal kesuburan demokrasi negara jadi lebih baik ada pertandingan kerana rakyat juga mahu melihat kematangan di pihak pembangkang terutamanya dalam aspek kompromi.

Dalam tempoh kurang sebulan ini, sebelum PRK Sungai Kandis berlangsung pada 4 Ogos ini, Md Shukri berkata, Umno/BN perlu segera berunding dengan parti-parti pembangkang sedia ada dan berbincang untuk mewujudkan satu blok parti alternatif yang baharu.

Menurutnya, kerjasama menerusi parti alternatif ini sangat penting kerana dapat menguji semangat di blok pembangkang untuk meneruskan cabaran politik dan suara-suara alternatif rakyat ke peringkat nasional selepas PRU14.

“Sungai Kandis adalah satu ujian untuk menguji kesepakatan antara parti-parti di blok pembangkang serta menguji daya tahan Pakatan Harapan (Harapan) sebagai kerajaan.

“Menerusi parti alternatif ini, kita sebenarnya mencabar Umno/BN dan Pas untuk duduk bersama berbincang dan berkompromi tentang siapa calon yang akan diletakkan, selain memastikan calon itu adalah calon yang disokong oleh semua jentera parti dari kedua-dua parti itu.

“Calon dipilih perlulah seorang calon yang mendapat konsensus semua parti komponen pembangkang bagi mewujudkan pertandingan satu lawan satu dan jika kerjasama ini berlaku ia pasti menjadikan PRK Sungai Kandis sengit,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, PRK ini juga merupakan proses simulasi kepada BN/Umno untuk menjadi parti pembangkang, jadi parti itu perlu sertai sama ada bersama parti lain atau secara bersendirian.

Md Shukri berkata, PRK ini tidak akan mengubah kerajaan tapi jika di blok pembangkang menang, maka ia akan menambah suara di Dun, sekaligus memberi isyarat bahawa kerajaan hari ini tidak boleh lalai daripada isu-isu dan perlu sentiasa peka dengan keadaan rakyat.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, Pas hanya berminat untuk meletakkan calon dalam PRK Sungai Kandis sekiranya berlaku persaingan dua penjuru berikutan matlamat parti itu bertanding adalah untuk menang.

“Apa yang kita harapkan kalau pembangkang lain tidak berhasrat bertanding dan menjadikan saingan dua penjuru, Pas kena letak calon.

“Tapi kalau berlaku tiga penjuru, kita akan pertimbangkan dan kaji balik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir turut berpandangan pertandingan satu lawan satu antara Pas dan Harapan adalah yang terbaik buat PRK Sungai Kandis berbanding apa yang berlaku pada PRU14.

“Jentera pilihan raya Pas sedia mengatur gerak kerja untuk bertanding sekiranya pimpinan parti memutuskan Pas masuk bertanding.

“Dalam keadaan Umno berdepan pelbagai masalah dalaman khasnya di Selangor, adalah lebih wajar Umno memberi laluan kepada Pas untuk menghadapi Harapan dan tidak meletakkan calon mereka,” katanya.