SHAH ALAM - Umno perlu melakukan penjenamaan semula secara drastik iaitu dengan membuang pimpinan sedia ada yang dilihat seperti telah hilang arah dalam mengemudi parti tersebut.

Penganalisis politik dari universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, budaya feudalisme atau patuh kepada ketua cukup sebati dalam Umno sehinggakan kritikan terhadap presiden parti itu dianggap sebagai satu kesalahan besar yang perlu diberikan hukuman.

Menurutnya, kepimpinan baharu terutama daripada Pemuda Umno perlu diberikan ruang mengisi jawatan-jawatan bagi mencorak masa depan parti berkenaan.

"Apa yang saya boleh katakan adalah Umno kini semakin tenat dan proses pemulihan dilihat seolah-olah tidak berlaku. Ini diburukkan lagi dengan tindakan bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang dianggap simbol ketokohan Umno meninggalkan parti dan ini benar-benar mencarkan imej Umno.

"Sokongan kepada Umno kini makin terhakis bukan sahaja penyokongnya malah rakyat negara ini. Akar Umbi kini dilihat mula hilang kepercayaan kepada parti kerana hala tuju parti tidak jelas dan meragukan," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Tok Pa keluar Umno]

[ARTIKEL BERKAITAN: Ini alasan Anifah letak jawatan]

Mengulas lanjut, Ahmad Marthada berkata, keputusan menjalinkan kerjasama secara formal dengan Pas menjadi punca kepada kurangnya sokongan daripada akar umbi parti itu.

"Bukan semua pemimpin dalam Umno bersertuju dengan kerjasama tersebut, malah kita lihat ada beberapa  tokoh mempertikaian kerjasama itu. Prestasi Umno di PRK Sungai Kandis dan Seri Setia membuktian perkara tersebut di mana pengundi Umno tak mengundi Pas dan Pengundi Pas tak mengundi Umno.

"Umno kini berada dalam keadaan begitu lemah dan perubahan ini perlu berlaku di peringkat akar umbi," katanya.

Katanya, keputusan jelas berkaitan hala tuju parti perlu dibuat dalam  Perhimpunan Agung Umno dan ia akan menjadi titik tolak kepada kebangkitan semula parti besar itu.

"Soal kerjasama ini perlu dibincangkan dengan teliti kerana tindakan yang dibuat sekarang (kerjasama Umno-Pas) menyebabkan rakan dalam BN mengasingkan diri dan apa yang ditakuti adalah mereka lari meninggalkan BN.

"Kalau Umno tak buat ketetapan itu menjelang Perhimpunan Agung Umno, kepercayaan rakyat akan terus terhakis dan mereka mungkin beralih arak kepada parti yang mampu memperjuangkan nasib mereka," katanya.

Ditanya apakah isu hangat bakal diperkatakan dan diperdebatkan dalam Perhimpunan Agung Umno, Ahmad Marthada berkata, kemungkinan besar, Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan didesak untuk melepaskan jawatan kerana majoriti Pemuda Umno dilihat hampir hilang kepercayaan kepada beliau lebih-lebih lagi dalam soal kerajama Umno dengan Pas.

"Umno sebuah parti besar, mempunyai kerusi Parlimen lebih banyak daripada Pas, namun tindakan presiden parti dilihat seperti Umno begitu terdesak dan parti itu berada lebih bawah daripada Pas. Ini isu hangat yang sering diperkatakan banyak pihak," katanya.