KOTA TINGGI - Umno perlu berubah dan perlu membuang sikap menganjurkan program syok sendiri sekiranya mahu terus mendapat sokongan masyarakat Melayu.

Adun Sedili yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi, Rasman Ithnain berkata, Umno perlu memperbanyakkan program orang muda suka dan bukan program apa yang mereka suka.

“Saya cakap dari pengalaman yang ada sikit jawatan dahulu dalam Umno. Tiba masanya Umno kena berubah, segalanya kena berubah. Umno jangan buat parti sekadar kuatkan pemimpin tetapi Umno kena kuatkan rakyat. Umno bekerja untuk rakyat bukan Umno bekerja untuk ahli Umno.

“Pesanan saya kita kena ubah. Sebelum ini Umno dilihat sebagai parti elit yang pada saya hanya dihadiri orang-orang Umno, mereka tidak ada macam MLM (multi level marketing).

“Kalau ada program boleh bawa orang luar, orang muda yang tak ada parti. Tapi bila buat program nak sampaikan sumbangan orang miskin dapat RM100 tapi majlisnya kos ratus ribu. Belum lagi nak hubungi dan berjumpa pemimpin atasan. Saya wakil rakyat pun susah inikan mereka di akar umbi,” katanya ketika menjawab soalan harapannya terhadap proses membina semula Umno.

Tambahnya, sekiranya Umno benar mahu berubah, parti itu perlu memberi peluang kepada golongan muda untuk memegang jawatan penting di semua peringkat dan bukan memberi jawatan kepada yang berusia 70an.

Dalam pada itu ketika menjawab soalan tentang harapan terhadap kerajaan baharu sekarang katanya, kerajaan yang ada hari ini kena fikirkan kerja yang lebih telus dan jangan ada kelompok tertentu jika tidak mahu jadi seperti BN.

“Kita kena lupakan berkenaan politik, pilihan raya dah habis, dah tahu kerajaan baru. Kalau boleh saya mengharapkan kerajaan hari ini melihat jika ada mereka dari kerajaan yang lama, ada yang bijaksana dan pandai bawa niat betul, duduklah bincang bersama berkenaan pembangunan menjana ekonomi rakyat.

“Kalau berterusan nak bekukan duit peruntukan pembangunan akhirnya kita tak menampakkan sistem demokrasi yang subur sebaliknya yang kelihatan demokrasi dendam.

“Hari ini kita dapat pokok baru kena letak baja sesuai begitu juga saya harapkan kerajaan baru hari ini jangan ada sikap kepartian jangan ada sikap dendam,” katanya.