KEPALA BATAS - Umno tidak boleh menunggu terlalu lama untuk bangkit dan kembali menjadi “pilihan yang wajar” kepada rakyat.

Ketua Umno Bahagian Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata tempoh masa satu hingga tiga tahun akan datang ini waktu paling kritikal dan mustahak untuk menaikkan semula semangat kebangkitan.

“Rata-rata ahli UMNO masih dalam keadaan terperanjat dan terpaku dengan keputusan PRU14, ini bukan masa kita mencari salah siapa sebaliknya masa ini digunakan untuk  menyusun langkah dan merencana hala tuju.

“Ini bukan waktu biasa-biasa dalam politik UMNO, ini waktu luar biasa, suasana politik luar biasa perlu tindakan yang juga luar biasa.

“Atas sebab itu, kita perlukan pemimpin yang boleh mengimbangi kekuatan pihak lawan,” katanya.

Katanya, dalam tempoh satu hingga tiga tahun ini Pakatan Harapan akan berdepan dengan masalah.

“Kecil atau besar, itu akan bergantung kepada cara mereka urus perbalahan, pokoknya mereka akan berbalah.

“Dalam waktu dan ketika itu, rakyat perlu lihat sinar politik dalam Umno," katanya.