PASIR PUTEH - Umno Bahagian Pasir Puteh yakin akan dapat menawan kerusi Parlimen Pasir Puteh dan empat Dewan Undangan Negeri (Dun dalam parlimen itu, berasaskan faktor dalaman calon dan pergolakan yang berlaku dalam Pas pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei depan.
   
Ketua Umno Bahagian Pasir Puteh Zawawi Othman berkata dua Dun iaitu Semerak dan Selising mempunyai harapan cerah berdasarkan kedua-dua calon Pas kawasan itu mempunyai rekod yang tidak menyenangkan anggota Pas sendiri.
   
"Bagi DUN Semerak, bekas pengarah pilihan raya Dun Pas kawasan itu, Shokri Mohamad Noor, 68, sudah naik ke pentas Umno berceramah menentang Pas tiga hari lepas," katanya kepada pemberita selepas memperkenalkan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding kerusi parlimen dan empat Dun di sini hari ini.
   
Calon BN itu ialah Tuan Mustaffa Tuan Mat (Parlimen Pasir Puteh), Zulkifli Ali (Dun Selising), Mohd Rujhan Salleh (DUN Limbongan), Zawawi Othman (Dun Semerak) dan Redzuan Stapha (Dun Gaal).
   
Zawawi berkata Shokri tidak berpuas hati dengan pemimpin Pas di kawasan berkenaan mengenai isu rampasan tanah.

"Ini memberi kelebihan kepada BN yang tewas tipis kepada penyandang Dun berkenaan Wan Hassan Wan Ibrahim pada PRU ke-12," katanya.
   
Katanya bagi Dun Selising, Zulkifli turut mempunyai harapan yang cerah apabila Setiausaha Pas Cawangan Danan, Ibrahim Ismail, 63, mengisytiharkan akan bertanding sebagai calon bebas yang akan memecahbelahkan undi Pas.
   
Zawawi berkata Ibrahim tidak berpuas hati dengan pucuk pimpinan Pas yang memilih penyandang Dun itu, Saiful Bahri Mohamad yang didakwa kononnya terbabit dengan kes khalwat.
   
Beliau berkata calon BN di Limbongan dan Gaal juga mempunyai harapan apabila Pas mencalonkan Mazlan Hasbullah (Limbongan) dan Tuan Mazlan Tuan Mat (Gaal), yang kurang disenangi kalangan anggota Pas.
   
Katanya Tuan Mustaffa, calon BN kerusi Parlimen Pasir Puteh, terpaksa bertarung kali kedua dengan calon Pas Nik Mazian Nik Mohammad dengan kali pertama kedua-duanya bertanding merebut Dun Gaal pada PRU12 yang dimenangi Nik Mazian dengan majoriti 323 undi.
   
Bagaimanapun Zawawi berkata keadaan sekarang jauh berubah apabila Pas gagal membawa perubahan di Dun Gaal.  - Bernama