SEREMBAN - Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan Umno dan Pas tidak akan bergabung membentuk sebuah parti.

Sebaliknya, beliau berkata, kedua-dua parti itu hanya menjalinkan kerjasama dan persefahaman sebagai blok pembangkang dalam isu membabitkan kepentingan rakyat.

"Kita tidak pernah bincang pun dan tidak pernah cakap untuk menyatukan Umno dengan Pas menjadi satu parti.

"Tidak timbul soal jika MCA keluar (daripada BN), Umno dan Pas bergabung menjadi satu parti. Apa yang jadi pada masa depan itu cerita lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menutup sambutan Maulidur Rasul Wanita Umno Negeri Sembilan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada Umno dan Pas akan bergabung menjadi sebuah parti seandainya MCA bertindak keluar daripada BN.

Pada 2 Disember lepas, perhimpunan agung MCA ke-65 sebulat suara meluluskan resolusi untuk memberi kuasa kepada Jawatankuasa Pusat parti berkenaan memulakan proses pembubaran BN dan membentuk perikatan baharu.