KUANTAN - Umno Pahang berdiri teguh bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang dikehendaki hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau mewakili seluruh ahli Umno negeri memberi sokongan penuh kepada Ahmad Zahid dalam menempuh keadaan mencabar ketika ini.

"Kami mengulangi kesetiaan  serta pendirian jitu untuk terus berdiri teguh bersama-sama beliau.

Kami juga berdoa kepada ALLAH semoga beliau dikurniakan kesabaran dan ketabahan yang tinggi dalam melalui saat getir ini,"katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata,  semua ahli dan penyokong Umno  minta  supaya terus berdoa dan menganjurkan solat hajat, memohon pertolongan ALLAH agar mempermudahkan  urusan kepemimpinan tertinggi parti itu.