KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengakui proses membaik pulih Umno pasca PRU14 secara perlahan seperti diharapkan menjadi salah satu faktor dua ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno meninggalkan parti Melayu itu.

Mohamad menyatakan, gerak perlahan pemulihan itu mengundang rasa tidak selesa dan mewujudkan satu ketidakpastian yang merugikan semua pihak.

"Saya mengakui sejak empat bulan lepas, proses membaik pulih Umno pasca PRU14 dan penetapan haluan yang jelas untuk parti berjalan sedikit perlahan dan tidak serancak atau radikal seperti diharapkan oleh semua pihak.

"Pastinya situasi ini mengundang rasa tidak selesa dan mewujudkan satu ketidakpastian yang merugikan semua pihak," katanya dalam satu kenyataan media.

Justeru, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu menegaskan bahawa perkara ini akan diberikan perhatian dan penekanan serius selepas ini demi memastikan Umno tidak kelihatan sebagai parti tanpa haluan atau tersasar dari landasan perjuangannya.

"Malah saya percaya wujud keperluan mendesak untuk agenda pemulihan dan hala tuju parti dikongsikan dengan semua dengan segera.

"Perkara ini akan menjadi tanggungjawab saya, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk dilakukan secepat mungkin.

"Saya amat berharap segenap ahli, pendukung dan kepimpinan Umno terus memberi sokongan kepada parti, khususnya dalam temph mencabar ini, semoga usaha kita memulihkan Umno dan kewibawaannya akan berjalan lancar dan Umno kembali diyakini dan menjadi pilihan, insya-ALLAH," katanya.