BAGAN SERAI - Umno sentiasa konsisten dalam membantu rakyat pelbagai kaum di negara ini, kata Pengerusi Biro Kebajikan Umno Malaysia Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata cara Umno membantu rakyat berbeza dengan parti pembangkang yang dilihat cenderung menabur fitnah serta mengadu domba.           

"Parti kita membantu rakyat sejak dahulu dan ia bukan retorik atau bermusim kerana rakyat perlu diberikan pembelaan," katanya kepada pemberita sempena program Jelajah Umno Bantu Rakyat 2.0 di Alor Pongsu dekat sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 300 orang daripada golongan miskin, ibu tunggal menerima bantuan barang keperluan harian termasuk 150 petani yang diberikan racun rumpai untuk tanaman padi.

Shamsul Anuar yang juga Anggota Parlimen Lenggong berkata sikap yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mengutamakan rakyat dalam dasar pemerintahan  mencerminkan seorang pemimpin yang berpegang kepada ajaran agama Islam.

"Apapun yang pentingnya rakyat boleh menilai perdana menteri dengan pemimpin lain  dari segi mengurus negara dan nampak dengan jelas beliau mengutamakan rakyat," katanya.         

Sehubungan itu, katanya rakyat hendaklah memberikan mandat kepada perdana menteri pada  pilihan raya umum ke-14 akan datang untuk terus berbakti kepada rakyat.             

‎Sementara itu, dalam ucapannya Shamsul Anuar yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional,  berkata seramai 500 pelajar di sini diberi peluang membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional  dengan jumlah RM100 setiap seorang.             

‎"Ini merupakan satu tabungan untuk simpanan masa depan pelajar berkenaan," katanya.  - Bernama 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Dakwaan BN akan hilang kuasa di empat negeri pada PRU14 yang dibuat Pakatan Harapan adalah hanya untuk meningkatkan semangat dan motivasi kalangan pemimpin dan jentera mereka.
  • BALIK PULAU - Rakyat perlu membuat penilaian bijak pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang dengan memilih parti yang punya agenda jelas untuk negara serta kekuatan dan kestabilan, demikian saran Pengerusi Biro Kebajikan Umno dan Anggota Parlimen Lenggong Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
  • KOTA KINABALU - Lebih 120,000 orang telah menerima manfaat daripada program Umno Bantu Rakyat sehingga kini selepas siri jelajah itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 19 Mei lepas di Kuala Lumpur.