SHAH ALAM - Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub sebelum ini pernah mendesak supaya BN dibubarkan selepas kekalahan teruk pada PRU14 yang lalu.

Desakan itu bertujuan bagi mengelakkan imej BN selaku parti terkuat negara sejak lebih 60 tahun itu tercalar.

Namun apa yang berlaku kini, perkara itu dilihat seperti benar-benar terjadi apabila berlaku penarikan diri seperti di Sabah, Sarawak dan yang terbaharu Gerakan.  

“Kita mahu menjaga maruah BN sebab itu lebih baik ia dibubarkan dan selepas itu, fikirlah cara baharu untuk adakan satu gagasan baharu. Tapi ia tidak berlaku sehingga sekarang hanya tinggal tiga parti iaitu Umno, MIC dan MCA.

Mustapha yakin pengundi Umno masih tidak berganjak daripada menyokong parti itu apatah lagi dalam kekalutan pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan pada hari ini.

“Saya yakin penyokong dan pengundi Umno tidak berubah malah dalam keadaan sekarang setelah 60 hari kerajaan Harapan, mereka masih gagal menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat.

“Tambahan pula, dengan isu-isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), LGBT, dan sebagainya yang petanda bahawa mereka sekarang gagal mentadbir dan mendaulatkan apa yang tercatat dalam Perlembagaan negara mengenai soal agama, dan hak orang Melayu dan sebagainya,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kekurangan yang ada pada kerajaan menjadi kelebihan buat Umno memenangi PRK akan datang.

“Saya yakin penyokong Umno akan tetap bersama Umno, dan bagi mereka yang mengubah selera pada PRU14, saya yakin mereka sudah sedar dengan kesilapan mereka dan akan kembali menyokong Umno,” katanya.