ALOR SETAR - UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu berusaha sendiri dan tidak perlu bergantung kepada kelemahan dan masalah dalaman parti pembangkang untuk menang pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata masalah dan kepincangan yang berlaku dalam parti-parti pembangkang dan sesama parti pembangkang tidak banyak membantu BN untuk menang dalam pilihan raya.

Katanya konflik dalam pembangkang kerana perbezaan pendirian dan pandangan hanya membantu BN untuk lebih menonjol tetapi pengundi terutama golongan muda mungkin mempunyai pandangan berbeza.

"Orang muda kalau mereka meluat dengan semua pihak, mereka tidak keluar mengundi walaupun telah mendaftar. Ini boleh jadi kalau mereka dah bosan dengan suasana politik dan anggap semua sama. Ini menyebabkan peratusan keluar mengundi menurun.

"Untuk menjamin kemenangan kita sendiri perlu berusaha. Jangan rasakan lawan bermasalah jadi kita akan menang. Ini tanggapan silap. Ia membantu sikit-sikit tapi jangan bergantung kepadanya," katanya kepada pemberita selepas melawat Universiti Tun Abdul Razak di sini hari ini.
    
Mukhriz, yang Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata untuk itu UMNO di Kedah sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah di peringkat bahagian.

"Ada bahagian telah selesai masalah, ada masih dalam proses selesaikan masalah dan ada masih bermasalah. Dalam hal ini, semua pihak kena bersatu menangkan calon.

"Tak nak ada mana-mana pihak terasa hati...lebih teruk lagi ada yang "cah keting", yang akan rosakkan peluang kita untuk menang," katanya.- Bernama


www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.