SHAH ALAM - Bersatu mendakwa pemimpin Umno kini berada dalam keadaan tidak menentu disebabkan fenomena tsunami Melayu termasuk ahli Umno sendiri sedang menolak parti itu.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, situasi semasa menyaksikan ribuan orang Melayu yang rata-ratanya ahli Umno satu ketika dahulu hadir pada setiap program Bersatu.

Katanya, fenomena itu turut berlaku di kawasan Felda yang dahulunya menjadi kubu kuat dan tidak pernah berjaya ditembusi parti pembangkang.

“Kini dengan kehadiran Bersatu, bukan sahaja kawasan-kawasan ini dapat ditembusi, malah ribuan hadir untuk mendengar ucapan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan pemimpin pembangkang lain.

“Fenomena ini sedang berlaku di seluruh negara. Malah, beberapa hari lalu di Melaka, iaitu negeri dikatakan kubu kuat Umno selepas Johor, puluhan ribu rakyat hadir Majlis Sambutan Aidilfitri Bersatu. Ini adalah sesuatu yang saya sendiri tidak jangka semasa penubuhan Bersatu,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Muhyiddin mendakwa, gelombang penolakan orang Melayu terhadap Umno sedang berlaku kerana perjuangan parti itu tersasar daripada landasan asal.

“Umno yang dahulunya berjuang bela nasib orang Melayu berubah jadi parti yang bela kepentingan individu iaitu Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Ketika orang Melayu dihimpit masalah bebanan hidup paling teruk dalam sejarah negara, pemimpin Umno lebih sibuk bela presiden mereka yang terpalit dengan skandal rasuah dan penyelewengan daripada membela orang Melayu,” katanya.

Menurutnya, pemimpin Umno hanya kecam tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat kerana ambil tindakan undang-undang terhadap petualang 1MDB daripada mendesak kerajaan hapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), menghentikan pengenalan cukai baharu dan menyediakan biasiswa kepada pelajar Melayu.

“Apa yang saya katakan sebagai defisit kepercayaan orang Melayu terhadap Umno sedang berlaku dengan pantas. Saya percaya, gelombang ini akan bertukar jadi tsunami Melayu yang besar dalam PRU 14.

“Sebab itu, pemimpin seperti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Timbalan Presiden Umno), Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Umno Bahagian Muar, Datuk Razali Ibrahim kelihatan semakin gusar. Mereka ini adalah kawan-kawan saya sewaktu bersama Umno dahulu. Saya ingin perkatakan sesuatu bahawa saya tahu mereka semua tahu masalah sebenar melanda Umno,” katanya.

Jelasnya, ada dalam kalangan pemimpin Umno pernah berjumpa beliau untuk menyatakan masalah dihadapi parti dan meminta agar sesuatu dilakukan.

“Mereka katakan kepada saya, jika saya sebagai timbalan presiden pada ketika itu tidak lakukan sesuatu untuk betul keadaan, negara akan hancur. Namun anehnya, saya dan mereka ambil jalan berbeza.

“Saya guna platform tegur pucuk pimpinan parti supaya perbetul keadaan dengan harapan langkah pembetulan dilakukan segera dan negara kita tidak terjerumus dalam lembah bahaya. Sebaliknya, mereka semua memilih berdiam diri dan menutup kebenaran.

"Bukan setakat itu sahaja, mereka kemudiannya menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pemimpin parti yang mereka sendiri tahu telah melakukan satu kerosakan yang amat besar kepada negara,” katanya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin melahirkan rasa dukacita apabila Khairy mendesak Mahathir agar bersara sedangkan harapan tinggi diletakkan kepadanya sewaktu beliau berada dalam Umno.

“Sebagai pemimpin sayap Pemuda Umno yang sepatutnya sarat dengan idealisme orang muda, beliau sewajarnya mendesak Najib supaya berundur. Sebaliknya, Khairy memilih untuk mendesak  Mahathir supaya bersara,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Isu yang dibawakan pembangkang dalam perarakan ungu atau 'Wanita Bantah Politik Toksik' , Ahad lalu dilihat sebagai dangkal serta tidak mencerminkan situasi sebenar yang berlaku dalam persekitaran politik Malaysia.
  • SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta agar para perwakilan Umno di Parit aktif lakukan gerak kerja dalam usaha meningkatkan sokongan rakyat.
  • KUALA LUMPUR - Sejarah politik masa lalu perlu sentiasa diingati kerana terdapat pelbagai kesilapan yang perlu diperbetulkan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
  • DUNGUN - Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad disifatkan tidak dapat menerima kenyataan dan hakikat bahawa terdapat pemimpin lain yang berkedudukan lebih tinggi daripada beliau ketika ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.